FADILLAH Yusof menghadiri Program Konsultasi FGV Holdings Berhad Bersama Pekebun Kecil Persendirian dan Pembekal Negeri Sarawak di Hotel Pullman Miri Waterfront, hari ini. FOTO ihsan PEJABAT TPM
FADILLAH Yusof menghadiri Program Konsultasi FGV Holdings Berhad Bersama Pekebun Kecil Persendirian dan Pembekal Negeri Sarawak di Hotel Pullman Miri Waterfront, hari ini. FOTO ihsan PEJABAT TPM
Mohd Roji Kawi


Miri: Sejumlah 661,844.12 hektar atau 81.10 peratus kawasan kebun kecil persendirian sawit di seluruh negara sudah dipersijilkan menerusi Skim Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 31 Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi kategori pekebun kecil tersusun di bawah Rancangan Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (FELDA),Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Lembaga Kemajuan Tanah

Sarawak (SLDB) pula, sejumlah 665,535.51 hektar atau 99.65 peratus keluasan bertanam sawit sudah menerima pensijilan itu.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, MSPO yang diwajibkan terhadap semua pemain industri sejak tahun 2020 antara langkah penting bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi dalam memastikan minyak sawit dapat diterima di seluruh dunia.

"Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa minyak sawit ini tidak baik untuk kesihatan, namun tohmahan itu terjawab melalui kajian sains yang jelas menunjukkan minyak sawit tinggi kandungan khasiat dan sesuai digunakan dalam pelbagai masakan dan produk.

"Kemudian ada juga pihak yang mengatakan tanaman sawit mengancam habitat sesetengah haiwan, orang utan misalnya,namun terbukti juga bahawa tiada perkara seperti itu berlaku dan terkini kita berhadapan pula dengan cabaran Kesatuan Eropah (EU) yang memperkenalkan satu peraturan baharu mengenai produk bebas penebangan hutan terhadap import komoditi terpilih termasuk sawit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Konsultasi FGV Holdings Berhad Bersama Pekebun Kecil Persendirian dan Pembekal Negeri Sarawak di Hotel Pullman Miri Waterfront, hari ini.

Fadillah berkata, pensijilan MSPO yang diperkenalkan sejak tahun 2013 merangkumi tiga prinsip utama yang menjadi tunjang industri sawit.

"Kita berpegang kepada prinsip MSPO iaitu keseimbangan antara keperluan manusia, kelestarian alam sekitar dan juga penjanaan keuntungan.

"Terima kasih kepada semua pemain industri yang bersama-sama dengan kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) danMajlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam menjayakan persijilan MSPO ini," katanya.

Mengenai program konsultasi anjuran FGV itu, Fadillah berkata, ia berupaya membantu industri sawit mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dengan penerapan amalan perladangan sawit yang baik dan komunikasi yang berkesan di setiap rantaian nilainya.

"Saya percaya, peserta program konsultasi ini mendapat pelbagai input penting dan menterjemahkannya di dalam amalan pertanian yang baik di kebun sawit masing-masing, selaras dengan tema kita pada hari ini Pekebun Kecil PendukungKelestarian.

"Selain membantu meningkatkan kefahaman dalam amalan kelestarian industri sawit, saya juga ingin berterima kasih kepada FGV kerana turut memainkan peranannya di dalam program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 3:10 PM