Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Wan Abdullah. - FOTO Aizuddin Saad
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Wan Abdullah. - FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd (Affin Bank) mengambil pelbagai langkah di luar kelaziman dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini bagi membantu perniagaan dan pelanggannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Razly Wan Abdullah berkata, pihaknya terus yakin dengan daya tahan ekonomi Malaysia dalam mendepani sebarang cabaran dan akan terus memainkan peranan untuk membantu mengekalkan persekitaran perniagaan yang kondusif sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan.

"Kami mengalu-alukan Bajet 2023 yang mengembang dan seimbang seperti dibentangkan oleh kerajaan, ke arah mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pasca Covid-19, di sebalik pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan dan pelbagai cabaran luaran lain.

"PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia dan merekalah kumpulan yang paling terdedah kepada sebarang cabaran ekonomi.

"Pelbagai bantuan kepada PKS, termasuklah dana Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM10 bilion dan had jaminan sehingga RM9 bilion menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang diumumkan dalam Bajet 2023 akan merancakkan lagi usaha pemulihan mereka di samping menjamin kedudukan PKS dalam agenda pembangunan sosio-ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan sebagai respon terhadap pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz semalam.

Sementara itu katanya, bantuan tunai langsung yang lebih komprehensif dan meluas berjumlah kira-kira RM10 bilion di bawah Bantuan Keluarga Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, akan membolehkan kumpulan sasar berkenaan untuk memenuhi keperluan mendesak mengikut keutamaan masing-masing, di samping mencipta kesan penggandaan dalam ekonomi tempatan.

"Kami juga menyambut baik peruntukan RM200 juta oleh kerajaan, yang antara lain akan digunakan untuk usaha promosi dan pemasaran industri pelancongan, terutamanya memandangkan perjalanan antarabangsa dijangka akan meningkat dengan pembukaan semula sempadan di seluruh dunia.

"Perkembangan industri pelancongan akan meningkatkan lagi permintaan produk dan perkhidmatan tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 2:00 PM