Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Norizuan Shamsuddin


Kota Bharu

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dijangka meluluskan pelaburan RM65 bilion dalam sektor pembuatan tahun ini berbanding RM52 bilion pada tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jangkaan itu diyakini dapat dicapai berikutan dalam tempoh tujuh bulan iaitu dari Januari hingga Julai lalu, MIDA sudah meluluskan pelaburan sebanyak RM53.1 bilion.

"Berdasarkan permohonan yang sudah dan akan diterima tahun ini, kami jangka MIDA mampu untuk meluluskan RM65 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan pelaburan di Malaysia semakin meningkat dan ia selari dengan hasrat kerajaan untuk menarik pelaburan dalam dan luar negara serta usahanya meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, beliau berkata, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menjadi fokus dalam belanjawan tahun depan dan sebanyak RM14.3 bilion diperuntukkan berbanding RM2.8 bilion pada 2014.

Mustapa berkata, bagi peruntukan itu sebanyak 18 program membabitkan PKS akan dilaksanakan yang meliputi sektor perkhidmatan, usahawan Bumiputera, golongan belia, perusahaan mikro, peniaga kecil, pekebun kecil, koperasi dan persatuan.

"PKS penting memandangkan sektor ini adalah tulang belakang ekonomi dan peluang pekerjaan kepada masyarakat serta banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

"Dalam Bajet 2015 pula, terdapat penekanan yang besar ke atas PKS, termasuk peruntukan untuk TEKUN, MARA, Bank SME, SME Corp yang berfungsi untuk membantu meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini juga adalah durian runtuh kepada PKS daripada segi akses pembiayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:09 AM