DATUK Wan Razly Abdullah Wan Ali. FOTO NSTP
DATUK Wan Razly Abdullah Wan Ali. FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pemegang saham Affin Bank Berhad sebulat suara meluluskan cadangan pemberian dividen istimewa berjumlah RM400.21 juta atau sekitar 18.09 sen bagi setiap saham melalui Mesyuarat Agung Luar Biasanya (EGM).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, cadangan pemberian dividen istimewa itu susulan daripada pelupusan 63 peratus pegangan ekuiti bank terbabit di dalam Affin Hwang Asset Management Bhd (Aham).

Katanya, pelupusan yang dimuktamadkan pada 29 Julai 2022 itu membolehkan Affin Group menerima hasil sebanyak RM1.063 bilion.

"Dengan muktamadnya pelupusan saham, pemberian dividen istimewa ini adalah sebagai ganjaran kepada pemegang saham syarikat di atas sokongan berterusan mereka dan untuk membolehkan mereka terus menjadi sebahagian daripada pertumbuhan Affin Bank.

"Menerusi dividen istimewa yang diluluskan ini berserta dengan dividen interim sebanyak RM100.2 juta ataupun sekitar 4.53 sen bagi setiap saham yang diumumkan sebelum ini, ia menyaksikan pemegang saham Affin Bank bakal menerima bayaran dividen berjumlah RM500 juta pada Disember 2022.

"Bayaran dividen akan dibuat sebelum akhir Disember 2022 kepada semua pemegang saham," katanya pada sidang media selepas EGM di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata Affin Bank kini akan menumpukan kepada fasa transformasinya menerusi pelan A25 yang memberi penekanan kepada tiga teras utama iaitu perkhidmatan pelanggan tiada tandingan, kepimpinan digital serta perbankan bertanggungjawab dan berimpak.

"Kami meletakkan sasara pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 10 peratus, memperkasa hasil pertumbuhan dan menggandakan jumlah pelanggan kami kepada dua juta.

"Kami percaya inisiatif ini akan membantu Affin Bank untuk menjadi bank yang moden dan progresif," katanya.

Menurutnya, pertumbuhan bakal dicapai menerusi segmen perbankan runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), disokong perkhidmatan perbankan Islamnya, Affin Islamic yang merekodkan pertumbuhan terkompaun antara 16 dan 17 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata, Affin Bank bakal melancarkan aplikasi perbankan mudah alih dalam tempoh beberapa minggu lagi, iaitu satu lagi inisiatif strategik pihaknya bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan.

"Berhubung prospek 2023, meskipun persekitaran pasaran dijangka mencabar, saya berpandangan masih ada peluang pertumbuhan untuk diraih terutamanya dalam segmen runcit dan PKS, saya yakin Affin Bank memiliki ketangkasan diperlukan untuk meraih peluang di luar sana," katanya.

Dalam pada itu, Wan Razly berkata, Affin Bank menyasarkan untuk memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM400 juta tahun depan dengan 80 peratus daripadanya akan digunakan bagi pelaburan teknologi maklumat (IT).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 3:29 PM