MCMANUS berkata inisiatif itu didorong oleh aspirasi kerajaan untuk menyokong PKS di negara ini
MCMANUS berkata inisiatif itu didorong oleh aspirasi kerajaan untuk menyokong PKS di negara ini
Sri Ayu Kartika Amri


MAXIS menawarkan rangkaian kesalinghubungan dan penyelesaian digital untuk perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Geran Digitalisasi PKS.

Ia termasuk pemasaran digital, elektronik Point-of Sale, kerja jarak jauh dan e-dagang.

Penawaran itu berikutan Maxis terpilih sebagai Penyedia Penyelesaian Teknologi (TSP) oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk Geran Digitalisasi PKS bernilai RM500 juta di bawah Bajet 2020.

Pada masa sama, Maxis turut bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menghasilkan proses aplikasi yang lebih ringkas, cekap dan mudah untuk PKS.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata, inisiatif itu didorong oleh aspirasi kerajaan untuk menyokong PKS di negara ini.

Katanya, geran PKS tentunya akan membantu memula dan mempercepat pertumbuhan perniagaan yang sangat penting bagi ekonomi.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan MDEC dan BSN untuk membantu mempermudah dan mempercepat proses ini melalui pendigitalan, titik sentuh tunggal dan akses ke rangkaian penyelesaian digital yang paling menjimatkan.

"PKS di seluruh negara pasti tidak sabar untuk memajukan kembali perniagaan mereka dan kami sedia membantu," katanya menerusi satu kenyataan.

PKS akan dapat memanfaatkan geran RM500 juta di bawah Bajet 2020 untuk mempercepat penggunaan digital bagi meningkatkan daya saing dan menjadi lebih tangkas pada masa yang mencabar ini.

Terdapat dua kategori penyelesaian yang layak mendapat subsidi di bawah geran ini iaitu Penyelesaian-sahaja, dengan subsidi 50 peratus atau sehingga RM5,000.

Bagi kumpulan Salinghubungan dan Penyelesaian, ia memperuntukkan subsidi 30 peratus atau sehingga RM3,000.

Pelanggan Maxis Business yang layak mendapat geran akan dihubungi dalam beberapa minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 7:20 AM