WAN Razly (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John  sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
WAN Razly (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kuala Lumpur: Affin Bank Berhad & Affin Islamic Bank Berhad (Affin Bank) bertukar Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memupuk pembangunan ekonomi dan kemampanan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di wilayah utara.

Dibantu dengan rebat faedah oleh pihak kerajaan, NCIA ditubuhkan untuk mempromosi dan mempercepatkan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), yang merangkumi Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, untuk menjadi wilayah ekonomi bertaraf dunia, hab teknologi dan pilihan destinasi bagi pelaburan, pekerjaan dan kehidupan.

Ia juga bertanggungjawab atas pelaksanaan pembangunan sosioekonomi yang strategik dan mampan di kawasan berkenaan.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah Bin Wan Ali berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan NCIA bagi meningkatkan potensi ekonomi NCER dengan menawarkan kemudahan perbankan yang menarik untuk menyokong dan memupuk industri PKS di wilayah utara.

"Atas dasar matlamat Affin Bank untuk menjadi bank pilihan bagi PKS dan syarikat pemula, kerjasama strategik ini peluang baik untuk kami menunjukkan keupayaan sebagai bank yang progresif dalam menangani keperluan kewangan PKS secara inklusif, sambil merangsang dan meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial PKS daripada pelbagai industri bagi keseluruhan NCER," katanya dalam kenyataan.

Perkongsian strategik ini dikenali sebagai NCIA – Affin Bank Entrepreneur Scheme (NABES) di bawah program entrepreneurNCER.

Di bawah NABES dan dengan sokongan daripada NCIA, kos pinjaman dikurangkan untuk menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan perniagaan sambil membantu memangkin kemampanan dan daya tahan PKS dalam jangka panjang.

Antara sektor dijangka mendapat manfaat daripada kerjasama ini adalah pertanian, pemborongan dan peruncitan, perkhidmatan, pelancongan serta pembuatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 8:46 AM