KETUA Pegawai Eksekutif AFFIN Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali. FOTO Aizuddin Saad
KETUA Pegawai Eksekutif AFFIN Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali. FOTO Aizuddin Saad
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: AFFIN Bank menjangkakan Bajet 2023 kekal menjadi belanjawan mengembang sekali gus mengharapkan kerajaan akan terus mengambil langkah utama yang akan merangsang dan memangkin pertumbuhan ekonomi dan juga inisiatif yang akan mengurangkan beban rakyat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, bagi 2023, perbelanjaan pembangunan juga dijangka kekal signifikan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

Katanya, jika dilihat pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), secara purata hampir RM70 bilion diperuntukkan setiap tahun bagi dua tahun pertama.

"Kami jangka perbelanjaan pembangunan ini meningkat kepada RM90 bilion bagi 2023.

"Perbelanjaan pembangunan ini penting bagi menjayakan projek infrastruktur ke arah mencapai objektif RMK-12 seperti pelaburan dalam tenaga diperbaharui, projek tebatan banjir dan pengurusan sumber air, kerja pembinaan hospital baharu dan naik taraf hospital sedia ada, infrastruktur lebuh raya dan juga Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Menurutnya, selain itu, dalam Bajet 2023 pihaknya berharap supaya imbuhan dan bantuan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berikutan segmen ini adalah enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, semua pihak perlu menyokong usaha pemulihan PKS selepas pandemik dan memastikan PKS tempatan kekal berdaya saing.

"Langkah-langkah bagi merancakkan sektor pelancongan dan menggalakkan kemasukan pelancong asing juga perlu diberi penekanan dalam Bajet 2023 kerana ini akan menghasilkan peluang pekerjaan, perniagaan dan perkhidmatan berkaitan.

"Kami turut mengharapkan Bajet 2023 mengutamakan kebajikan rakyat dan menerusi bantuan secara langsung kepada golongan yang memerlukan serta meningkatkan kemahiran mereka terutamanya dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan teknologi," katanya.

Bagaimanapun, menurut Wan Razly, kelangsungan perniagaan PKS adalah salah satu teras Bajet 2023 kerana sektor perniagaan negara sudah beralih kepada ekonomi digital.

"Contohnya, platform e-dagang memberi peluang untuk syarikat tempatan memasarkan produk mereka ke pasaran serantau dan antarabangsa. Salah satu cabaran yang dihadapi oleh perniagaan atau PKS adalah kekurangan tenaga kerja mahir dan infrastruktur IT.

"Malaysia perlu memberi lebih tumpuan melahirkan ramai tenaga pakar dalam bidang IT dan teknologi untuk memenuhi kehendak pasaran tempatan.

"Sama seperti AFFIN Bank, fokus kami adalah ke arah pendigitalan untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan lebih komprehensif setiap masa.

"Namun, Malaysia masih tidak memiliki tenaga kerja mahir yang mencukupi dalam IT dan kami terpaksa mendapatkan khidmat tenaga kerja mahir asing dan ini menelan kos yang besar," katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan boleh membantu dalam usaha meningkatkan kemahiran modal insan dalam bidang IT dan teknologi, selain negara memerlukan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang IT yang bukan sahaja akan membawa manfaat kepada sektor perbankan, tetapi juga sektor lain kerana semua perkara membabitkan elemen digital ketika ini.

Dalam pada itu, mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang sudah dinaikkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak tiga kali berturut-turut, Wan Razly berkata, kadar OPR Malaysia bergantung kepada kadar faedah yang diumumkan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, sebelum ini, BNM terpaksa menaikkan kadar OPR sebanyak tiga kali sebagai maklum balas kepada tindakan agresif yang diambil oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Kita perlu melihat kepada tindakan susulan Fed selepas ini kerana kesannya bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga ekonomi negara lain, di mana BNM perlu mencari keseimbangan antara kekuatan ringgit dan pertumbuhan ekonomi dan ia bukanlah satu perkara yang mudah.

"Apa juga tindakan BNM selepas ini akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur, malah pendekatan ini penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi negara," katanya.

Mengenai banyak pihak meramalkan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun depan dan kemungkinan Malaysia akan turut terjejas, beliau berkata, Malaysia sudah berjaya menangani pelbagai krisis ekonomi sebelum ini.

"Saya percaya ekonomi kita mampu berdaya tahan, memandangkan asas ekonomi kita yang kukuh.

"Menerusi pembukaan semula sempadan negara, kerajaan perlu merangsang sektor pelancongan sama seperti sebelum pandemik yang menyumbang kira-kira tujuh peratus atau RM100 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019.

"Kita perlu menyasarkan sumbangan ini akan meningkat sebanyak dua kali ganda kerana sektor pelancongan turut membantu menjana pertumbuhan ekonomi tempatan seperti industri perhotelan, pengangkutan dan perkhidmatan.

"Saya percaya ekonomi Malaysia tidak akan menuju ke arah kemelesetan, namun kita perlu berwaspada dengan risiko pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada tahun hadapan," katanya.

Menyentuh mengenai peranan sektor perbankan bagi membantu dan mempermudah rakyat terutamanya golongan B40 dan PKS dalam mendapatkan bantuan kredit, Wan Razly berkata, isu ini berkait rapat dengan kos dana.

"Sekiranya kos dana bagi kami lebih rendah, ia membolehkan kami menawarkan lebih banyak bantuan kepada golongan B40 dan syarikat PKS.

"Ketika ini, 11 peratus daripada portfolio AFFIN Bank terdiri daripada golongan B40 dan tindakan Fed menaikkan kadar faedah berturut-turut sudah memberi tekanan kepada kadar OPR Malaysia.

"Ini adalah satu faktor menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat dan kerajaan dapat membantu syarikat PKS dengan memperkenalkan skim pembiayaan kos rendah menerusi sektor perbankan.

"Selain itu, kami melihat rakyat Malaysia memiliki sifat keusahawanan yang tinggi dan kita perlu mengembangkan ekosistem syarikat pemula bagi memanfaatkan potensi mereka.

"Mengikut data kami, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, pelanggan syarikat pemula AFFIN meningkat sebanyak 33 peratus berbanding tahun lalu dan jumlah pembiayaan yang sudah kami berikan setakat ini bernilai lebih RM500 juta.

"Selain pembiayaan, kami juga menyediakan khidmat nasihat, laporan kewangan dan servis insurans," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 10:01 AM