Baharin (tiga dari kiri) dan Tengku Muhammad Taufik bertukar dokumen selepas majlis menandatangani MoU antara TNB dan Petronas.
Baharin (tiga dari kiri) dan Tengku Muhammad Taufik bertukar dokumen selepas majlis menandatangani MoU antara TNB dan Petronas.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan kerjasama dalam memacu penyelesaian inovatif ke arah usaha nyahkarbon bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

Ini akan dicapai terutamanya melalui kajian kolaboratif untuk pembangunan hijau ekosistem hidrogen dan teknologi penyimpanan karbon (CCS) yang memanfaatkan kepakaran teknikal dan sumber organisasi kedua-dua pihak.

MoU itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Ir Baharin Din dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Majlis itu telah dipengerusikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, kerjasama itu akan membantu mempercepatkan usaha kerajaan dalam aspirasinya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

"Masa untuk memulakan usaha ini juga tepat kerana kerajaan dijadualkan melancarkan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 tidak lama lagi yang akan menggariskan peralihan Malaysia kepada tenaga hijau," katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua syarikat menyatakan komitmen mereka terhadap Net-Zero Carbon Emissions (NZCE) 2050.

Di bawah MoU itu, TNB dan Petronas akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan secara bersama bagi penyelesaian CCS di loji penjanaan kuasa TNB.

Keuda-dua pihak juga akan melihat ke arah pembangunan bahan api hidrogen hijau untuk penjanaan kuasa dan mempergiatkan usaha untuk mencipta bersama ekosistem hijau untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih bersih untuk Malaysia dan pasaran di luar negara.

Inisiatif ini akan dimulakan dengan penjanaan semula Stesen Janakuasa Sultan Ismail TNB di Paka, Terengganu menggunakan Turbin Gas Kitaran Gabungan yang cekap dengan teknologi sedia hidrogen menjelang 2029 ke arah pengeluaran tenaga lebih bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 6:33 PM