TNB mahu menguasai sebahagian besar pasaran tenaga bersih dengan sasaran kira-kira RM40 bilion menjelang 2050.
TNB mahu menguasai sebahagian besar pasaran tenaga bersih dengan sasaran kira-kira RM40 bilion menjelang 2050.

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang meneroka daya maju penamatan loji arang batu terutama Kapar Energy Ventures (KEV) pada 2028 hingga 2029, setahun sebelum tamatnya Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA), dalam usaha mempercepat proses peralihan kepada tenaga bersih memandangkan ia menyasarkan bahagian yang signifikan daripada nilai pasaran RM80 bilion menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Baharin Din berkata, pihaknya berharap langkah itu dapat dimulakan dengan KEV dan meneroka daya maju penamatan loji 1400 MW itu sehingga setahun sebelum tamat tempoh PPA tertakluk kepada persetujuan pemegang saham serta kelulusan pihak berkuasa dan pengawal selia yang berkaitan.

"Bagi memperkasakan semula loji dengan teknologi baharu, kami menerima Surat Niat baru-baru ini supaya membenarkan penjanaan semula loji berkuasa gas 1400 MW kami di Paka (terletak di Terengganu) yang kami mahu ia bersedia untuk hidrogen menjelang 2029," katanya semasa taklimat bersama editor di sini, semalam.

Beliau berkata, TNB juga sedang berusaha untuk membina pakatan strategik dengan rakan kongsi teknologi yang mampu menyediakan teknologi, keupayaan dan sinergi modal untuk meletakkan TNB Power Generation Sdn Bhd (GenCo) sebagai peserta yang lebih hijau dan lebih mampan dalam sektor penjanaan kuasa.

"Ini termasuk mencari rakan usaha sama yang berpotensi memajukan lagi pembangunan hidrogen sebagai sumber tenaga bersih berdaya maju," katanya.

Baharin berkata, TNB komited untuk mengubah GenCo dari segi prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menjadi penjana tenaga yang lebih hijau.

"Memandangkan permintaan terhadap tenaga bersih meningkat dengan peralihan tenaga, kami mengunjurkan nilai pasaran tenaga bersih mencecah RM65 bilion hingga RM80 bilion, dan kami mahu menguasai sebahagian besar pasaran, kira-kira RM40 bilion menjelang 2050," katanya.

Beliau berkata, menerusi langkah secara perlahan-lahan untuk meningkatkan nilai perusahaan dan kedudukan kemampanan GenCo, pihaknya juga bersifat kekal terbuka kepada kemungkinan pelaksanaan tawaran awam awal (IPO) untuk GenCo sekiranya peluang itu muncul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 7:01 AM