MALAYSIA terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan bagi tempoh sepanjang April hingga Jun iaitu tempoh selepas pemeteraian RCEP pada 18 Mac lepas. FOTO Arkib NSTP
MALAYSIA terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan bagi tempoh sepanjang April hingga Jun iaitu tempoh selepas pemeteraian RCEP pada 18 Mac lepas. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia akan terus menjalinkan hubungan kerjasama diplomatik, perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara anggota Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) meskipun dunia kini berdepan kekangan serta cabaran besar susulan dasar sifar Covid-19 yang dilaksanakan oleh China.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kementerian tersebut juga mengambil maklum mengenai penerbitan banyak laporan dan kajian berhubung penyederhanaan serta kelembapan perdagangan akibat dasar China tersebut.

Malah, Malaysia sebaliknya terus mencatatkan prestasi perdagangan memberangsangkan sejak menandatangani RCEP sehingga pertengahan tahun ini, kata beliau.

"Sudah tentu pergerakan dan penutupan sempadan memberi kesan kepada aspek kemudahan perdagangan dan pelaburan China dan negara angota RCEP lain.

"Namun (ia tidak memberi kesan) jika kita melihatnya dari segi prestasi perdagangan bagi Jun yang mencatatkan peningkatan sebanyak 43.4 peratus kepada RM270.39 billion. Perdagangan dengan China yang juga anggota RCEP juga telah mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi (tempoh) 19 bulan berturut-turut," katanya pada sesi persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (Warisan-Penampang) mengenai sejauh mana dasar sifar Covid-19 China menjejaskan perdagangan Malaysia dan rakan-rakan anggota RCEP.

Dalam soalan asalnya, Darell bertanya mengenai impak perdagangan negara sejak perjanjian RCEP berkuatkuasa di Malaysia pada Mac lepas serta industri yang menjadi keutamaan kerajaan pada masa ini.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata Malaysia juga terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan bagi tempoh sepanjang April hingga Jun iaitu tempoh selepas pemeteraian RCEP pada 18 Mac lepas.

Pada April 2022, nilai perdagangan Malaysia berjumlah RM231.44 bilion dengan eksport bernilai RM127.49 bilion dan jumlah tersebut terus meningkat pada Mei dengan nilai RM228.37 bilion manakala eksport RM120.49 bilion.

"Pada Jun, negara merekodkan nilai tertinggi bagi perdagangan eksport dan import tahun ini apabila perdagangan meningkat 43.4 peratus (tahun-ke-tahun) kepada RM270.39 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 12:33 PM