FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Malaysia akan menguatkuasakan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bermula 18 Mac ini, selepas menjadi negara ke-12 secara rasmi melengkapkan surat cara ratifikasi (IOR) perjanjian itu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, IOR sudah diserahkan kepada Sekretariat Asean pada 17 Januari lalu, selepas mendapat mandat Jemaah Menteri pada 12 Januari untuk meratifikasi RCEP.

"Selaras dengan Artikel 20.6 Perjanjian RCEP yang memperuntukkan bahawa perjanjian itu akan berkuatkuasa selepas 60 hari surat cara ratifikasi diserahkan kepada Sekretariat Asean selaku Depositary Perjanjian RCEP.

"Malaysia akan mula menguatkuasakan perjanjian ini pada 18 Mac 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat Asean, Malaysia akan menyertai 11 negara lain yang telah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan.

RCEP adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia yang meliputi 15 negara dengan 2.2 bilion atau hampir satu pertiga (29.5 peratus) penduduk dunia, mewakili AS$25.8 trilion (RM108 trilion) atau 29.4 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia, berdasarkan Data Bank Dunia 2019.

Menurut MITI, adalah penting untuk melihat pelaksanaan Perjanjian RCEP sebagai bukti kukuh usaha kerajaan bukan sahaja untuk mendokong sistem perdagangan pelbagai hala malah untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau dan menyokong agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menurut laporan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang diterbitkan pada 15 Disember 2021, dalam kalangan negara-negara anggota Asean, Malaysia dijangka menerima manfaat terbesar perjanjian itu dari segi eksport, dengan unjuran nilai peningkatan eksport sebanyak AS$200 juta (RM837.06 juta), hasil daripada penghapusan dan pengurangan tarif untuk barangan dagangan, penambaikan kemudahan eksport dan import barangan di kalangan negara-negara RCEP.

"Disamping itu, penyedia perkhidmatan termasuk e-dagang akan dapat menikmati akses pasaran lebih besar menerusi peningkatan bekalan rentas sempadan serta menggalakkan keberadaan dan pembabitan mereka di

pasaran RCEP," katanya.

MITI berkata, pandemik Covid-19 telah menunjukkan betapa pentingnya perdagangan dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan kesalinghubungan rantaian bekalan serantau terjamin.

"Dalam hal ini, RCEP akan menjadi penggerak utama untuk Malaysia dalam usaha mencerdaskan semula aktiviti perniagaan dalam negara dan antarabangsa bagi pemulihan ekonomi negara pasca pandemik.

"Komuniti perniagaan sama ada dalam kalangan pengusaha kecil atau besar digalakkan untuk memanfaatkan peluang perniagaan dan pelaburan serta meningkatkan penyertaan mereka dalam rantaian nilai serantau dan global yang ditawarkan oleh perjanjian perdagangan mega ini.

"Sebagai negara perdagangan, Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan ekonomi terbuka dengan dasar mesra perniagaan dan pragmatik bagi terus memupuk iklim perdagangan dan pelaburan yang kondusif di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 1:29 PM