DR Zulkifli  (kanan) bersama Dr M Nasir pada sidang media, semalam.
DR Zulkifli (kanan) bersama Dr M Nasir pada sidang media, semalam.
Mahaizura Abd Malik


Serdang: Langkah kerajaan mengimport ayam bulat sejuk beku untuk menstabilkan harga dan menjamin bekalan ayam di pasaran hanya sesuai untuk jangka pendek.

Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Zulkifli Idrus menyifatkan, langkah itu tidak sesuai dilaksanakan untuk jangka masa panjang kerana ia boleh menjejaskan industri pengeluaran ayam tempatan.

"Langkah kerajaan benarkan import ayam bulat ini satu tindakan yang baik, namun ia bersifat jangka masa pendek.

"Ini kerana, industri ayam di Malaysia sebenarnya sangat mantap dan jika kita berterusan import ayam, lama kelamaan kita bimbang ia akan jejaskan industri ayam negara ini," katanya pada sidang media di Bangunan Canselori Putra di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan kerajaan tidak berhasrat menghentikan pengimportan ayam bulat dari luar untuk menampung kekurangan ayam dan menstabilkan harga ayam di Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, isu kenaikan harga ayam di pasaran dijangka berlarutan sehingga tujuh bulan dan bakal berakhir hujung tahun ini.

Namun, kerajaan perlu bertindak segera bagi menyelesaikan isu ini untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, mengulas langkah pengawalan harga ayam runcit RM8.90, Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, UPM Prof Datuk Dr M Nasir Shamsudin berpandangan, langkah itu juga bagus namun perlu bersifat sementara sahaja.

"Tak boleh kawal harga ayam secara berterusan kerana ia akan memberi kesan negatif kepada industri pengeluaran ayam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 11:37 AM