Mohideen Abdul Kader.
Mohideen Abdul Kader.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan supaya kerajaan menilai kembali penggunaan tanah di negara ini dengan memberi penekanan kepada soal pengeluaran makanan asas.

Pada masa sama, kebergantungan kepada import makanan perlu di atasi dengan segera.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan perlu melihat secara serius keperluan bagi mewujudkan pengeluaran makanan ternakan di dalam negara bagi mengekang isu makanan haiwan dari luar negara yang mahal.

Pihaknya menyokong ketegasan dan campur tangan kerajaan walaupun penternak meminta harga ayam di ladang dinaikkan yang pastinya mempengaruhi harga pasaran sehingga mencecah melebihi RM10 sekilogram.

"Kami menyambut baik keputusan menetapkan harga siling runcit ayam pada harga RM8.90 di Semenanjung Malaysia walaupun kerajaan terpaksa menyediakan subsidi bagi menampung harga itu kepada pengguna.

"CAP juga berpandangan positif terhadap keputusan kerajaan mengekalkan harga telur gred A, B dan C pada harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) terkini," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, kerajaan juga perlu memantau dan menerima aduan daripada pengguna jika didapati peniaga menaikkan harga.

Manakala pengguna perlu menggunakan saluran yang betul apabila mendedahkan ada peniaga yang cuba meraih keuntungan berlebihan.

"CAP mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pihak pasar raya besar mengimport ayam bulat dari negara luar dengan syarat pematuhan terutama daripada segi halal dan kesegaran serta kebersihan namun ia adalah langkah jangka pendek.

"Namun pendekatan yang terbaik adalah bagi memperkukuhkan pengeluaran dalam negara secara lestari," katanya.

Sehubungan itu, CAP mengalu-alukan tindakan kerajaan bagi menstabilkan harga barangan seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 31 Januari lalu.

Pada mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, CAP turut diberi ruang bagi menyampaikan pandangan pada pertemuan berkenaan.

"Kami bersetuju dengan tindakan kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC), iaitu agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bagi melaksanakan kajian dan siasatan berterusan supaya tidak wujud kartel harga serta manipulasi orang tengah dalam industri pengeluaran dan bekalan ayam.

"Pihak berkuasa berkaitan perlu menyegerakan penyelidikan berkenaan alternatif makanan ayam supaya negara tidak diancam dengan harga jagung, soya dan ubat-ubatan yang sekarang ini diimport 100 peratus," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 4:40 PM