FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Oleh Balqis Jazimah Zahari

[email protected]

Gambar dan Video Balqis Jazimah Zahari

Cameron Highlands: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyambut baik usaha mewujudkan badan khas bagi menyelesaikan isu kenaikan harga ayam dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, badan khas itu perlu bagi membolehkan kementerian duduk bersama bagi membincangkan secara lebih mendalam membabitkan isu berkenaan.

''Kita menyambut baik usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk duduk berbincang dengan Kementerian Pertanian dan juga Kementerian Kewangan.

''Ia untuk mencari penyelesaian menyeluruh iaitu harga yang patut bagi rakyat malaysia dan harga pengeluaran yang perlu ditanggung pihak industri,'' katanya pada sidang media di Mobile Pusat Pemberian Vaksin (PPVIN) Kampung Raja selepas hadir Program Walkabout di sekitar Cameron Highlands sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan KPDNHEP baru-baru ini akan bekerjasama dengan MAFI dan juga Kementerian Kewangan untuk menstabilkan harga ayam.

Ronald berkata, perbincangan perlu diadakan secara bersama dengan pelbagai Kementerian bagi mencari penyelesaian jangka panjang dan jangka pendek.

''Apabila kita bercakap tentang kenaikan harga ayam ataupun produk makanan tentu kita perlu melihat faktor yang mengakibatkan kenaikan harga, sama ada ia faktor komponen bekalan makanan, mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi ataupun faktor yang lain.

''Beberapa kementerian perlu duduk bersama merangka strategi yang perlu diambil kira jika ia disebabkan oleh pengimportan kandungan bahan makanan ternakan membabitkan pasaran antarabangsa yang perlu dilihat secara menyeluruh.

''Dalam hal ini, kita perlu bercakap berkenaan pemberian subsidi dan sebagainya untuk menampung kos pengimportan komponen makanan ternakan kerana ia membabitkan pasaran antarabangsa dan kita tidak boleh memanipulasi pasaran antarabangsa. Jadinya, ia perlu membabitkan beberapa kementerian untuk duduk berbincang mencari penyelesaian terbaik,' 'katanya.

Beliau berkata, MAFI berpendirian ia perlu ada keseimbangan kos pengeluaran yang ditanggung pihak industri dan juga kos yang ditanggung tidak membebankan rakyat.

''Bagi MAFI kita mengambil berat kepada harga untuk rakyat Malaysia tetapi pada masa sama kita mengambil berat harga industri untuk melihat industri dapat bergerak secara positif. Ia perlu ada keseimbangan harga industri dan harga yang patut bagi rakyat Malaysia secara keseluruhan," 'katanya.

Sebelum ini media melaporkan, KPDNHEP akan melaksanakan kawalan harga ayam jika ia terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapat kartel memanipulasi harga di semua peringkat rantaian.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, bagi mengatasi masalah itu kementeriannya mengadakan satu pendekatan baharu dengan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada peniaga pada peringkat borong dan runcit bagi mengadakan libat urus bersama pengeluar serta penternak ayam di lokasi dan lokaliti berlaku kenaikan harga.

Terdahulu, mengenai program AiCAV beliau berkata lebih 17,000 pekerja sektor penanaman sayur di kawasan tanah tinggi itu akan menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui program tersebut yang bermula 27 Ogos lalu.

Katanya, sebanyak 400 syarikat menyertai program itu yang dilihat sebagai langkah proaktif bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.

"Sehingga kini sebanyak 10,000 pekerja telah menerima dos pertama, baki 7,000 pekerja lagi akan divaksin bermula semalam hingga 27 September ini," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:06 PM