Amir Mamat


Jasin: Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah menempah 7,000 tan ayam bulat sejuk beku dari China dan Thailand untuk memastikan harga bahan mentah itu stabil dan tidak membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, langkah kerajaan itu dijangka mampu mengatasi kekurangan bekalan ayam, sekali gus dapat menstabilkan harga yang pada ketika ini melonjak dan membebankan pengguna.

"Kita sudah menempah ayam sejuk beku bulat sebanyak 7,000 tan metrik untuk kegunaan sepanjang Disember ini dan kita jangka bahan mentah itu akan tiba dalam tempoh beberapa hari lagi.

"Ada pemborong dan pembekal rayu supaya jangan import ayam dari luar negara serta berjanji akan menurunkan harga, tetapi sudah terlambat kerana pada ketika harga ayam sedang naik sebelum ini, mereka tidak mahu menurunkan harga, namun selepas kita (kerajaan) membuat keputusan untuk mengimport ayam, mereka boleh pula turunkan harga," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bencana Pertanian sempena Program MAFI Prihatin peringkat Parlimen Jasin di Kampung Tehel, di sini, hari ini.

AHMAD Hamzah ketika Program Dari Dapur Peladangnita. FOTO Syafeeq Ahmad
AHMAD Hamzah ketika Program Dari Dapur Peladangnita. FOTO Syafeeq Ahmad

Turut hadir, EXCO Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Sementara itu, ketika merasmikan Dari Dapur Peladangnita anjuran Pertubuhan Peladang negeri di Sungai Rambai, di sini, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, pengguna, khususnya umat Islam di negara ini tidak perlu bimbang dengan tahap kebersihan serta status halal terhadap ayam yang diimport.

Katanya, MAFI menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sudah pun mengesahkan semua loji memproses ayam di Thailand dan China bagi mengeksport bahan mentah itu ke Malaysia adalah masih sah dan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Malah, pihak berkuasa agama Islam di kedua-dua negara berkenaan juga sedia untuk membantu Malaysia dalam menentukan status halal ayam yang diproses di sana sebelum dihantar ke Malaysia.

"Justeru, pengguna tidak perlu bimbang dengan keadaan itu kerana kerajaan memberi jaminan bahawa status halal ayam import itu sentiasa dijaga," katanya.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan akan membawa masuk antara 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku dari luar negara seawal minggu depan bagi memberi pilihan harga lebih murah berbanding ayam segar dari ladang.

Negara sumber bekalan ayam import itu akan diputuskan MAFI kerana terdapat banyak pilihan sama ada dari China atau Thailand.

Keperluan ayam dalam negara sebanyak 3,762 tan (2.09 juta ekor) sehari atau 113,220 tan (62.9 juta ekor) sebulan

Susulan itu, kumpulan pemborong dan pembekal ayam di Johor, meminta kerajaan tidak membawa masuk ayam import selain menetapkan harga siling di pihak mereka pada RM8.30 sekilogram berbanding RM8 bagi mengelak mereka mengalami kerugian.

Mereka mendakwa, keputusan membawa masuk ayam dari luar berisiko `melenyapkan' pusat penyembelihan ayam kecil-kecilan terutama dimiliki Bumiputera kerana mereka tidak mampu bersaing dengan tawaran ayam import.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 5:06 PM