GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku boleh menjadi penyelesai sementara isu kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini.

Presiden Pertubuhan Usahawan Islamiah Malaysia (Usamiah) Tengku Imran Tengku Zainal Abidin berkata, dalam tempoh jangka masa pendek, inisiatif berkenaan wajar bagi membantu rakyat.

Katanya, pihaknya mengharapkan kenaikan harga yang dilihat tidak menentu ini berakhir menjelang hujung tahun dan keadaan kembali stabil.

"Kita tahu Cukai Makmur akan diperkenalkan tahun depan. Namun dalam masa terdekat, perlu ada tindakan segera dan saya lihat mengimport ayam ini satu daripadanya.

"Namun sebagai persatuan usahawan, kita mengharapkan kualiti ayam yang dibekalkan nanti adalah yang terbaik demi pengguna dan rakyat," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Tengku Imran berkata, rata-rata ahli Usamiah menyambut baik langkah itu, namun mereka mengharapkan satu langkah proaktif dan komprehensif diambil untuk mengelak perkara sama berulang pada masa depan.

Menurutnya, walaupun Cukai Makmur akan dilaksanakan tahun depan, jurang yang berlaku pada tahun ini tetap memberi impak yang besar terhadap negara.

"Untuk jangka masa panjang, Usamiah mencadangkan juga kerajaan menggunakan kaedah inovasi Agri-Tech bagi mengurangkan kos tenaga buruh seperti dilakukan Singapura dan Indonesia.

"Kaedah ini sepatutnya diutamakan kerana ia lebih efektif dan berkesan dalam mengurangkan kos pengeluaran.

"Selain itu kita juga perlu mengukuhkan sumber hasil tempatan seperti pengeluaran baja, racun, dedak dan sebagainya dapat menstabilkan harga pasaran," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini sehingga Februari 2022.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dilaporkan berkata, kebenaran mengimport bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran itu, membabitkan pertimbangkan import sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

Mengulas lanjut, Tengku Imran berkata, isu kenaikan harga barang itu memberi kesan kepada 5,000 ahli Usamiah seluruh negara untuk memastikan mereka dapat menetapkan harga berpatutan kepada pelanggan.

Katanya, pihaknya berharap penyelesaian jangka masa panjang akan diambil bagi membolehkan peniaga tidak terbeban dengan kenaikan harga barang yang berpunca daripada beberapa faktor luar jangka.

"Dengan sektor ekonomi yang baru saja dibuka, isu seperti ini perlu ditangani. Hari ini ayam dan sayur, mungkin selepas ini ia merebak kepada rantaian makanan yang lain. Ia perlu ditangani agar tidak membebankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 3:56 PM