Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - FOTO BERNAMA
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu berjumlah RM306.5 bilion.

Ia meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada 2021 itu melebihi jangkaan, meningkat 83.1 peratus daripada yang direkodkan pada 2020.

Belanda, Singapura, China, Austria dan Jepun mendahului senarai negara sumber FDI tertinggi dalam tempoh berkenaan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ekosistem perniagaan yang kukuh membolehkan Malaysia memperoleh pelaburan strategik dan menjalin hubungan perdagangan baharu.

Beliau berkata, ia meletakkan Malaysia berada pada trajektori positif untuk memacu ekonomi ke tahap lebih tinggi serta mempercepat usaha ke arah pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif.

"Kelonggaran diberikan kerajaan terhadap kawalan pergerakan membolehkan aktiviti ekonomi disambung ditambah dengan kadar vaksinasi tinggi.

"Langkah rangsangan berterusan juga dilaksana bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal responsif kepada arah aliran global merangkumi dasar dan inisiatif untuk kemudahan perniagaan, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bakat, pendigitalan serta automasi.

"Secara ringkas, langkah terbabit berjaya meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan teguh dan berdaya tahan ke arah pertumbuhan yang rancak dan pemulihan mampan," katanya pada sidang media prestasi pelaburan Malaysia di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pada 2021, FDI menyumbang sebahagian besar jumlah pelaburan diluluskan dengan RM208.6 bilion (68.1 peratus), lonjakan 224.9 peratus berbanding RM64.2 bilion pada 2020, sementara DDI merangkumi baki RM97.9 bilion (31.9 peratus).

Sektor perkilangan mendahului jumlah pelaburan diluluskan pada tahun lalu sebanyak RM195.1 bilion, diikuti sektor perkhidmatan (RM94.1 bilion) dan sektor utama (RM17.3 bilion).

Katanya, Belanda (RM78 bilion), Singapura (RM47.3 bilion), China (RM31.3 bilion), Austria (RM18.9 bilion) dan Jepun (RM9.9 bilion) adalah sumber FDI teratas daripada sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama di Malaysia, menyumbang 88.9 peratus daripada jumlah FDI yang diluluskan untuk tahun itu.

"Dari segi negeri, Pulau Pinang menjadi penyumbang utama kepada pelaburan diluluskan ini sebanyak RM83.5 bilion diikuti Kedah (RM68.3 bilion), Kuala Lumpur (RM37.7 bilion), Selangor (RM28.8 bilion) dan Sarawak (RM25.7 bilion).

"Jumlah pelaburan dari lima negeri ini saja menyumbang 79.6 peratus daripada keseluruhan pelaburan diluluskan untuk 2021," katanya.

Sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan RM195.1 bilion untuk 2021, meningkat 113.7 peratus berbanding 2020.

Apabila dilaksanakan, projek perkilangan yang diluluskan itu mewujudkan pekerjaan baharu untuk 74,575 orang dengan 28,688 adalah jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, penting bagi Malaysia terus melaksanakan daya tahan ekonomi untuk pemulihan negara lebih mampan.

Beliau berkata, Malaysia akan terus maju ke hadapan dan memperkasakan daya tahan melalui dasar teguh yang akan meningkatkan lagi trajektori positif.

Katanya, Aspirasi Pelaburan Negara (NIA) bersedia untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam bidang pertumbuhan baharu yang membawa kesan limpahan kepada ekonomi.

"Sehubungan itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2022-2033 akan terus mendorong industri tempatan untuk mempercepatkan usaha pendigitalan dan merealisasikan sepenuhnya manfaat peralihan ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.

Sehingga Disember 2021, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenal pasti 352 projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi RM39.2 bilion.

Ini termasuk dalam segmen aeroangkasa, kenderaan elektrik, jentera dan peralatan, reka bentuk litar bersepadu (IC), elektronik termaju, bahan termaju, bahan kimia, tenaga boleh diperbaharui (seperti fotovoltaik, optik dan fotonik), teknologi paparan, petrokimia, farmaseutikal, peranti perubatan dan keselamatan makanan.

Projek terbabit diunjur akan mewujudkan lebih 19,000 peluang pekerjaan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 4:46 PM