MALAYSIA mencatatkan RM164 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2020. FOTO arkib NSTP
MALAYSIA mencatatkan RM164 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2020. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan RM164 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2020, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pihaknya komited untuk memastikan Malaysia terus diposisikan sebagai lokasi yang mesra pelabur untuk pertumbuhan jangka panjang bagi perniagaan asing dan domestik.

"Malaysia merekodkan RM164 bilion pelaburan diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada 2020.

"Pelaburan ini diharapkan dapat mewujudkan 114,673 pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor ekonomi selepas dilaksanakan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, 5,287 projek dengan pelaburan berjumlah RM211.4 bilion diluluskan pada 2019.

Penurunan ini disebabkan oleh sektor perkhidmatan dan utama yang secara langsung dipengaruhi oleh penurunan permintaan global akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tahun lalu, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 60.9 peratus (RM99.8 bilion) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan manakala pelaburan langsung asing (FDI) merangkumi baki RM64.2 bilion (39.1 peratus).

Sektor perkilangan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2020 dengan pelaburan RM91.3 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan (RM66.7 bilion) dan sektor utama dengan RM6.0 bilion.

Selangor mencatatkan pelaburan tertinggi dengan RM38.7 biliondiluluskan tahun lalu, diikuti oleh Sabah (RM21.0 bilion), Sarawak (RM19.6 bilion), Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.0 bilion).

Lima negeri ini sahaja menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan untuk 2020.

"Seterusnya, sektor perkilangan mempunyai kesan pengganda paling signifikan terhadap aktiviti dan pertumbuhan negara, ia akan terus menjadi asas ekonomi Malaysia.

"Ini termasuk menghubungkan kawasan maju dan mundur, pembangunan kluster industri, pemindahan teknologi baru dan pembangunan kemahiran.

"Sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM91.3 bilion untuk 2020, meningkat 10.3 peratus dari tahun 2019.

"Bilangan projek perkilangan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 6.2 peratus dari 988 projek pada tahun 2019 kepada 1,049 projek pada tahun 2020.

"Apabila dilaksanakan, projek perkilangan yang diluluskan ini akan mewujudkan pekerjaan baru untuk lebih daripada 80,000 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 1:24 PM