ZAHARUDIN (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Syed Ali Al-Habshee.
ZAHARUDIN (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Syed Ali Al-Habshee.

Kuala Lumpur: Takaful Ikhlas Family Bhd dan Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas) anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd menyerahkan bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 berjumlah RM446,835 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Takaful Ikhlas dalam kenyataan berkata, majlis penyerahan itu disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud kepada Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.

Zaharudin berkata, Takaful Ikhlas melaksanakan bayaran zakat, setiap tahun, yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab syarikat itu untuk berkongsi keuntungan pendapatan yang diperoleh dengan golongan yang memerlukan.

"Sumbangan zakat ini juga adalah salah satu cara untuk kami menerapkan semangat saling tolong-menolong antara syarikat korporat dan masyarakat, selaras dengan sistem takaful yang berteraskan konsep kerjasama dan tanggungjawab antara peserta.

"Takaful Ikhlas yakin pembayaran zakat kepada PPZ-MAIWP dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan. Ia juga dapat dimanfaat sepenuhnya oleh PPZ- MAIWP dalam menjana pembangunan kelestarian masyarakat yang positif melalui program yang dilaksanakan mereka," katanya.

Menurut Takaful Ikhlas, sumbangan zakat itu juga sejajar dengan konsep value of giving yang diterapkan oleh syarikat dalam operasi hariannya.

Selain itu, ia juga turut berkongsi konsep berkenaan kepada pelanggan yang menyertai pelan perlindungan yang disediakan yang mana mereka bukan sahaja melindungi diri dan insan tersayang, malahan dapat turut membantu komuniti yang memerlukan melalui sumbangan perlindungan takaful.

"Takaful Ikhlas yakin "Value of Giving" ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat tetapi juga dapat memupuk masyarakat yang prihatin antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Takaful Ikhlas berkata ia juga turut menyempurnakan tanggungjawab zakat perniagaannya bagi Tahun Kewangan 2021 kepada beberapa Majlis Agama Islam di negeri yang lain.

Ia termasuk sumbangan zakat sebanyak RM123,704.40 kepada Majlis Agama Islam Melaka dan RM174,185.60 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu

"Syarikat juga telah memperuntukkan sebanyak RM744,725.00 bagi serahan zakat kepada institusi zakat dan juga golongan asnaf di beberapa negeri. Jumlah serahan zakat kepada PPZ-MAIWP adalah yang terbesar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:03 AM