ZAHARUDIN menyerahkan zakat perniagaan Takaful Ikhlas  kepada Syed Ali.
ZAHARUDIN menyerahkan zakat perniagaan Takaful Ikhlas kepada Syed Ali.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad, Takaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful Ikhlas) menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Zakat perniagaan berjumlah RM446,835 disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings, Zaharudin Daud kepada Pengerusi (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, di Masjid Negara, baru-baru ini.

Jumlah serahan zakat perniagaan kepada (PPZ-MAIWP) adalah terbesar bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.

Zainudin menerusi kenyataan berkata, sumbangan zakat ini adalah salah satu cara pihaknya menerapkan semangat tolong-menolong antara syarikat korporat dan masyarakat.

"Ia adalah selaras dengan sistem takaful yang berteraskan konsep kerjasama dan tanggungjawab antara peserta.

"Takaful IKHLAS yakin pembayaran zakat kepada PPZ-MAIWP dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

"Pembayaran ini juga dapat dimanfaat sepenuhnya oleh PPZ-MAIWP dalam menjana pembangunan kelestarian masyarakat yang positif melalui program-program yang dilaksanakan oleh PPZ- MAIWP," katanya.

Selain PPZ-MAIWP, Takaful Ikhlas turut menyempurnakan tanggungjawab zakat perniagaannya kepada beberapa majlis agama Islam di negeri lain.

Ia termasuk sumbangan zakat sebanyak RM123,704.40 kepada Majlis Agama Islam Melaka dan RM174,185.60 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu.

Takaful Ikhlas juga memperuntukkan sebanyak RM744,725 bagi serahan zakat kepada institusi zakat dan golongan asnaf di beberapa negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 3:37 PM