Mohd Rafi Mamat


Pekan: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyumbang barangan bantuan pasca banjir bernilai RM70,000 untuk kira-kira 200 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir di daerah ini.

Bantuan misi kemanusiaan siri pertama ini disertai tiga pembayar zakat korporat iaitu Etiqa General Takaful Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd dengan tujuan meringankan beban mangsa banjir.

Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat PPZ-MAIWP, Nur Mukshar Harun berkata, setiap pembayar zakat terbabit menyediakan barangan bantuan yang berbeza mengikut kehendak masing-masing dan selepas mengadakan perbincangan, proses penghantaran dilakukan.

Menurutnya, daerah ini menjadi pilihan pada misi pertama bantuan pasca banjir PPZ-MAIWP kerana banyak kawasan ditenggelami air hingga menyebabkan kerugian besar ditanggung mangsa. "Antara barangan bantuan disediakan pembayar zakat korporat ialah tilam, selimut, tuala, dapur gas, periuk nasi, telekung dan baucar tunai makanan segera KFC.

"Kerjasama tiga pembayar zakat korporat yang menghulurkan bantuan pasca banjir kali ini diharap dapat membuka mata masyarakat untuk terus menunaikan zakat membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan misi pasca banjir PPZ siri pertama kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman di Dewan MUIP, di sini semalam.

Nur Mukshar berkata, misi bantuan pasca banjir siri kedua PPZ-MAIWP selepas ini ke Jerantut. Sementara itu, Asmadi berkata, bantuan diberikan PPZ-MAIWP akan diagihkan kepada 200 mangsa banjir di daerah ini dalam masa terdekat.

ASMADI (kanan) dan Nur Mukshar melihat sebahagian barangan bantuan pasca banjir PPZ-MAIWP bernilai RM70,000 untuk mangsa banjir daerah Pekan. FOTO Mohd Rafi Mamat
ASMADI (kanan) dan Nur Mukshar melihat sebahagian barangan bantuan pasca banjir PPZ-MAIWP bernilai RM70,000 untuk mangsa banjir daerah Pekan. FOTO Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 10:52 AM