AHMAD Shukri. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Shukri. FOTO Arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail

PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima 100,000 permohonan mendapatkan Bantuan Khas-Musaadah Khaira PPZ yang ditutup secara rasmi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Shukri Yusoff berkata, permohonan itu diperoleh dari seluruh negara terdiri pelbagai bangsa dan agama.

Katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada mereka memohon dan mempercayai inisiatif bantuan ini.

"Untuk makluman, pemohon boleh membuat semakan status penerimaan bantuan ini mulai 1 April dengan melayari portal rasmi Muasaadah Khaira PPZ di https://musaadahkhaira.zakat.com.my/semak.

"Tahniah diucapkan kepada permohonan yang diluluskan dan kami harap bantuan yang diberikan dapat digunakan sebaik mungkin bagi meringankan beban yang sedang dihadapi.

"Kami memohon maaf bagi permohonan yang tidak berjaya. Pihak PPZ-MAIWP menjalankan saringan sebaik mungkin bagi memastikan mereka yang mendapat bantuan ini sememangnya layak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, setakat hari ini PPZ-MAIWP menerima dana sebanyak RM2,138,972.52 yang akan memberi manfaat kepada 7,130 pemohon bantuan khas Muasaadah Khaira PPZ.

"Insya-Allah, dalam masa yang terdekat ini juga pihak PPZ-MAIWP menjangkakan menerima lagi sumbangan RM2,000,000 dari beberapa syarikat yang boleh memanfaatkan lebih 6,000 penerima bantuan.

"Bantuan yang diberikan ini adalah dana wang wakalah syarikat yang membayar zakat di PPZ-MAIWP dan juga dana tanggungjawab sosial korporat yang disumbangkan oleh syarikat yang menjadikan kami sebagai platform bagi menguruskan permohonan orang awam khususnya golongan B40 yang memerlukan bantuan di dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini," katanya.

Tambahnya, pihak PPZ-MAIWP menyeru kepada semua pembayar zakat termasuklah individu dan syarikat-syarikat untuk terus setia membayar di PPZ-MAIWP supaya lebih ramai golongan asnaf di Wilayah Persekutuan dapat dibantu.

"Bagi mereka yang ingin membuat pembayaran zakat, anda masih boleh berbuat demikian di laman web rasmi PPZ-MAIWP; www.zakat.com.my

"Sebagai memberikan kemudahan kepada pemohon, sebarang info, pertanyaan dan maklum balas berkaitan Bantuan Khas–Musaadah Khaira PPZ boleh dimajukan terus ke Facebook rasmi kami iaitu Khaira PPZ," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 6:31 PM