SUNWAY Carnival Mall.
SUNWAY Carnival Mall.

Kuala Lumpur: Langkah pengembangan Sunway Malls yang bernilai RM500 juta dijangka menyaksikan Sunway Carnival Mall menggandakan ruang niaganya kepada satu juta kaki persegi berbanding 500,000 kaki persegi ketika ini dengan kadar kepenghunian yang disahkan sebanyak 95 peratus setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema dan Sunway Malls, HC Chan berkata, ruang niaga tambahan itu akan membolehkan Sunway Carnival Mall memperkenalkan senarai kedai terbaik di tanah besar Pulau Pinang.

"Pengembangan pusat beli-belah itu yang dijadualkan dibuka pada 1 April 2022 dijangka mencapai kadar kepenghunian 100 peratus menjelang separuh kedua 2022 dengan lawatan tahunan diramalkan mencecah 12 juta selepas siap.

"Dengan dua kali ganda ruang, bilangan kedai dijangka meningkat 60 peratus iaitu daripada 220 kedai kepada 350 kedai.

"Secara kolektif, langkah ini diunjurkan akan membawa kesan pengganda ekonomi serta sosial dengan tambahan 1,500 pekerjaan baharu yang akan diwujudkan untuk masyarakat tempatan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, walaupun pengembangan berlaku dalam ancaman pandemik Covid-19, Sunway Malls tetap optimis mengenai potensi jangka panjang pasaran runcit di Pulau Pinang.

"Kami perlu bersedia apabila keadaan kembali normal memandangkan Pulau Pinang adalah pasaran yang sangat urban, makmur dan bernilai.

"Kami juga percaya bahawa pandangan jangka panjang, progresif dan berwawasan yang melangkaui krisis semasa diperlukan.

"Oleh itu, kami yakin dan terus membina untuk masa depan, pertama dengan Sunway eMall dan kini melalui pengembangan Sunway Carnival," katanya.

Sementara itu, menurutya, setakat November 2021, kumpulan melaporkan pemulihan positif dengan trafik serta jualan masing-masing menunjukkan 80 peratus dan 90 peratus normal., berbanding bulan sebelum pandemik yang sama pada 2019.

"Kami menjangkakan angka ini akan kekal sehingga akhir tahun manakala pemulihan diteruskan dengan pematuhan penuh terhadap protokol keselamatan di peringkat kebangsaan dan mencapai prestasi tahap prapandemik dalam jangka masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 7:01 AM