ANTARA pusat beli-belah kendalian Sunway Malls.
ANTARA pusat beli-belah kendalian Sunway Malls.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: "Sunway Malls membina dua lagi pusat beli-belah baharu iaitu Sunway Square di Sunway City Kuala Lumpur yang dijangka siap akhir tahun ini dan Sunway Ipoh Mall di Sunway City Ipoh siap pada 2026," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls dan Theme Park, HC Chan.

"Ini akan mengukuhkan lagi komitmen kami menyediakan kualiti ruang runcit," katanya.

Beliau menjelaskan, untuk kekal berdaya saing dan menyediakan ruang runcit berkualiti, Sunway Malls juga melaksanakan Inisiatif Peningkatan Aset (AEI) bernilai RM550 juta untuk 800,000 kaki persegi ruang runcit di Sunway Pyramid dan Sunway Carnival, dengan pelaburan masing-masing RM200 juta dan RM350 juta.

"Ruang runcit yang berkualiti akan membolehkan Sunway Malls memenuhi pelbagai tawaran baharu dan segar, termasuk tawaran yang lebih mesra Muslim," katanya.

Menuju ke hadapan, Chan berkata, Sunway Malls kekal optimistik untuk mengunjurkan pertumbuhan lima peratus tahun ini, sejajar dengan potensi pemulihan permintaan luaran, meskipun berdepan cabaran utama termasuk kenaikan cukai, pengenalan cukai baharu, penarikan semula subsidi, kenaikan tarif, kenaikan inflasi berterusan dan ketegangan geopolitik.

"Kami melihat ini sebagai sebahagian normalisasi pertumbuhan ke arah tahap pencapaian lebih mampan," katanya.

Sunway Malls mencatatkan pertumbuhan jualan positif lima peratus tahun ke tahun pada 2023, mengatasi rekod prestasi tertinggi yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Pencapaian cemerlang yang dicatatkan Sunway Malls itu disokong pertumbuhan dua angka Sunway Carnival, prestasi berdaya tahan kedai makan dan perbelanjaan perayaan yang kukuh dicatatkan di semua pusat beli-belah Sunway pada suku pertama tahun lalu.

Chan berkata, prestasi jualan pusat beli-belah kumpulan melonjak ketara melebihi jangkaan dengan pertumbuhan 19 peratus pada suku pertama 2023, sebelum menyederhana pada suku tahun berikutnya.

"Prestasi suku pertama Sunway Malls yang kukuh memberikan penampan yang besar untuk mengurangkan penyederhanaan yang berlaku pada suku berikutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 8:38 AM