PERTUNJUKAN fesyen pada pelancaran Sunway Malls meraikan
PERTUNJUKAN fesyen pada pelancaran Sunway Malls meraikan
hmdigital

KUALA LUMPUR: Sunway Malls kini berada pada kedudukan kukuh untuk menjadi satu daripada pengendali pusat beli-belah terbesar di Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa projek sedia ada dan dalam pembinaan.

Sunway Malls dalam satu kenyataan berkata, syarikatnya kini dalam perancangan untuk mencapai matlamat itu menerusi projek sedang berjalan yang kini merangkumi keluasan 7.7 juta kaki persegi Ruang Boleh Disewa Bersih (NLA).

“Berdasarkan perancangan, kami menyasarkan peningkatan keluasan kepada 10.2 juta kaki persegi NLA menjelang 2020,” katanya.

Katanya, keluasan bangunan itu merangkumi rangkaian tujuh pusat beli-belah di bawah Sunway Malls.

Premis berkenaan terdiri daripada Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Sunway Velocity Mall dan Sunway Putra Mall di Kuala Lumpur, Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang, Sunway Big Box Village, Johor Bahru yang baru dibuka pada tahun ini, Sunway Giza, Kota Damansara dan Sunway Citrine Hub di Johor Bahru.

Pada Mac lalu, media melaporkan Sunway Bhd, satu daripada lima operator utama pusat beli-belah di Malaysia akan membuka tiga pusat beli-belah baharu dalam tempoh empat tahun lagi dengan peruntukan antara RM500 juta dan RM1 bilion bagi setiap pusat beli-belah.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls dan Taman Tema, HC Chan dipetik sebagai berkata, pusat beli-belah baharu itu akan dibuka di Johor, Pulau Pinang dan Perak.

“Pusat beli-belah ketujuh kami, Sunway Big Box Village di Johor Bahru akan dibuka pada suku keempat tahun ini manakala di Paya Terubong, Pulau Pinang dan Tambun, Ipoh akan dibuka menjelang 2023.

“Kami juga memperuntukkan RM500 juta untuk membesarkan Sunway Carnival Mall di Seberang Prai, Pulau Pinang yang dijangka siap pada suku keempat tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sunway Malls dalam kenyataannya berkata, semua enam Sunway Mall di seluruh negara ‘berwajah baharu’ apabila dihiasi dengan taman bertema sebagai tarikan pengunjung menjelang sambutan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 10:11 AM