CHOW Heng Wah (tengah, kemeja putih) bersama kanak-kanak daripada Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Shan melakukan dekorasi hiasan 'Rangoli'. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
CHOW Heng Wah (tengah, kemeja putih) bersama kanak-kanak daripada Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Shan melakukan dekorasi hiasan 'Rangoli'. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
Muhammad Shalaby Shahbuddin


BAGI meraikan golongan tidak bernasib baik, pihak Sunway Carnival Mall melaksanakan acara tradisi tahunan dengan menceriakan 20 kanak-kanak daripada Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Shan di pusat beli-belah itu, semalam.

Pengurus Besar Sunway Carnival Mall Chow Heng Wah berkata, sempena sambutan Deepavali 18 Oktober lalu, semua kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun itu dijemput untuk menghiasi ruang legar pintu masuk utama dengan dekorasi hiasan 'Rangoli', sekali gus memaparkan nama rumah kebajikan terbabit.

Beliau berkata, ia adalah peluang bagi pihaknya menyumbang semula kepada komuniti setempat dengan cara bermakna dan meraikannya bersama-sama kanak-kanak terbabit.

"Ketika kita bersama-sama merayakan perayaan Deepavali yang menarik dan penuh warna-warni, janganlah kita lupa kepada mereka iaitu golongan kurang bernasib baik.

"Pada masa sama, kami turut mendapatkan sokongan orang ramai terutama pengunjung untuk menjayakan kempen mendermakan barangan makanan kering untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan duit raya dan beg cenderahati kepada kanak-kanak rumah kebajikan terbabit selepas selesai menyiapkan 'Rangoli' berkenaan.

Chow berkata, selain itu, kotak simpanan disediakan buat pengunjung untuk menyumbangkan barangan makanan dinamakan 'Box of Happiness' yang diletakkan berhampiran pintu masuk utama.

Beliau berkata, barangan makanan seperti beras, minyak masak, gula, biskut, susu tepung, peralatan mandian dan sebagainya boleh dimasukkan ke dalam kotak simpanan berkenaan sehingga 31 Oktober ini.

"Tidak kira berapa banyak barang disumbangkan kerana sudah pasti ia akan membantu kanak-kanak terbabit.

"Malah, mereka dibawa menjamu selera di The Manhattan Fish Market selepas selesai menyiapkan 'Rangoli' itu," katanya.

Sementara itu, V Mukuntha, 11, berkata dia berasa amat gembira diberi peluang menghias 'Rangoli' di pusat beli-belah itu.

"Selepas ibu meninggal dunia empat tahun lalu, saya sempat membantu datuk dan nenek menghias 'Rangoli' di halaman rumah mereka di Kebun Sireh.

"Selepas lima tahun dimasukkan ke rumah kebajikan ini, saya gembira mempunyai ramai kawan yang boleh dianggap seperti saudara sendiri," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan dengan menghantar cek atas nama 'Persatuan Rumah Anak-Anak Negeri Pulau Pinang' kepada Shan Children's Home, No.113, Tingkat Kikik 6, Taman Inderawasih, 13600 Prai, Pulau Pinang atau boleh dihubungi di 04-3973593.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 12:23 PM