KERJASAMA Malaysia Airlines dan Revima membolehkan syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan penggantian gear pendaratan di hangarnya di KLIA.
KERJASAMA Malaysia Airlines dan Revima membolehkan syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan penggantian gear pendaratan di hangarnya di KLIA.
HM Digital

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd bekerjasama dengan Revima untuk menyediakan perkhidmatan pusat sehenti menggantikan gear pendaratan dan penyelesaian baik pulih kepada pelanggan pihak ketiga.

Revima adalah penyedia penyelesaian penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang berpangkalan di Perancis terutama dalam unit kuasa tambahan (APU) dan penyelesaian gear pendaratan.

Dalam kenyataan bersama baru-baru ini, Malaysia Airlines berkata, kerjasama itu membolehkan syarikat penerbangan berkenaan menyediakan perkhidmatan penggantian gear pendaratan kepada pelanggan Revima di hangarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, Revima akan menyokong kerja baik pulih gear pendaratan untuk pelanggan Malaysia Airlines di mana-mana fasilitinya dan menyediakan sokongan teknikal dan latihan bagi penggantian gear pendaratan termasuk berkongsi pengetahuan mengenai amalan terbaik dan penanda aras kemudahan bagi syarikat penerbangan itu.

“Kedua-dua pihak juga akan mempunyai peranan dalam pemasaran dan mempromosi perkhidmatan bersama itu kepada pengendali Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) 3 di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurutnya, di bawah kerjasama itu, Malaysia Airlines berharap untuk mengembangkan bahagian pasarannya dalam pasaran MRO di rantau Asia Pasifik selain mempromosi perkhidmatannya kepada operator.

“Malah Revima dapat memanfaatkan pengalaman Malaysia Airlines dalam menyenggara kerangka pesawat udara selain pengalaman mengganti gear pendaratan untuk pesawat berbadan lebar dan sempit,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, kerjasama itu akan meningkatkan keupayaan syarikat penerbangan berkenaan dan memperkukuh kelebihan daya saingnya sebagai penyedia MRO di rantau ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Revima Group, Olivier Legrand berkata, usahasama itu akan membolehkan syarikat berkenaan memanfaatkan hangar Malaysia Airlines ketika ruang hangar melakukan pemindahan gear pendaratan dan pemasangan menjadi sumber yang berkurangan dalam keadaan pertumbuhan yang tinggi bagi pengangkutan udara.

“Kami berharap dapat menyediakan perkhidmatan tambahan ini kepada para pelanggan kami dan kerjasama kami dengan Malaysia Airlines,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 12:44 PM