GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Lapangan Terbang Kertih (LTK) di Kemaman sebagai hub subsektor penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat ringan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan terus meneroka potensi baharu dalam usaha memanfaatkan penggunaan dan pembangunan lapangan terbang itu.

Katanya, tarikh penyerahan LTK yang dipersetujui bersama antara kerajaan negeri dan Petronas adalah sehingga 31 Mac 2026.

"Kita ada banyak masa sehingga Mac 2026 (dan) antara ruang lain yang boleh diterokai, yang masih lagi dalam pertimbangan kerajaan ialah untuk mempelawa industri sokongan sebagai mini hub aeroangkasa.

"Keduanya, menjadikan hub MRO untuk pesawat yang menggunakan kipas dan helikopter kerana MRO untuk pesawat yang besar memerlukan landasan yang lebih panjang daripada yang ada di LTK.

"Apapun kerajaan negeri akan terus berusaha sehingga sampai tempoh ditetapkan," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau berkata berkata demikian menjawab soalan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) berkaitan rancangan kerajaan terhadap pengoperasian dan pembangunan LTK selepas ia diserahkan kembali kepada kerajaan negeri oleh Petronas.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) secara dasar bersetuju dengan cadangan penyerahan keseluruhan aset yang merangkumi tanah, bangunan dan peralatan di LTK oleh Petronas.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengekalkan tapak LTK untuk aktiviti berkaitan penerbangan dan Jawantankuasa Khas Lapangan Terbang Kertih akan ditubuhkan bagi menyelaras dan memantau proses penyerahan nanti, selain menilai business model sesuai.

"Justeru itu, kerajaan negeri telah melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) untuk meneroka potensi serta merangka pelan pengoperasian Lapangan Terbang Kertih setelah penyerahan," katanya.

Setakat ini katanya, kajian Terengganu Inc mendapati lapangan terbang itu tiada potensi baik untuk diteruskan sebagai lapangan terbang, namun kajian lanjut dibuat untuk penerokaan potensi pembangunan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 5:24 PM