NESTLE menjalin kerjasama rapat dengan petani kopi dan cili tempatan.
NESTLE menjalin kerjasama rapat dengan petani kopi dan cili tempatan.

Kuala Lumpur: Nestle merangka pelan untuk menyokong dan mempercepat proses peralihan kepada sistem makanan regeneratif yang bertujuan bagi melindungi dan memulihkan alam sekitar, mempertingkatkan kehidupan dan kesejahteraan golongan petani.

Nestle dalam kenyataan berkata, ia akan bekerjasama dengan rakan niaga dalam sistem makanannya termasuk rangkaian syarikat lebih daripada 500,000 petani dan 150,000 pembekal untuk memajukan amalan pertanian regeneratif pada sistem makanan.

Sebagai sebahagian daripada perjalanan ini, syarikat memulakan program baharu membantu menangani cabaran sosial dan ekonomi disebabkan peralihan itu.

Pengumuman dibuat menjelang Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York sebagai sebahagian sumbangan Nestle untuk membantu mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjelang 2030.

Nestle sudah menandatangani Ikrar Perniagaan PBB untuk ikrar 1.5 darjah Celsius dan menjadi antara syarikat pertama berkongsi pelan iklimnya yang terperinci dan teratur pada Disember 2020.

Syarikat itu mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon pada 2030 dan mahu mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Bhd, Juan Aranols berkata, Nestle Malaysia teruja untuk menggunakan pembangunan rangka kerja regenerasi Kumpulan Nestle berdasarkan asas kukuh yang sudah ditubuhkan selama bertahun-tahun.

"Dari 2011 hingga 2020, kami tanam sejuta pokok di Sabah di bawah projek RiLeaf untuk meningkatkan usaha dalam memulihkan zon berdekatan sungai dan ekosistem hutan di Sungai Kinabatangan, Sabah.

"Sekarang syarikat mulakan perjalanan menanam tiga juta pokok dalam tempoh tiga tahun akan datang di bawah Project RELeaf, di Sabah dan di Semenanjung Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 7:20 AM