Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Nestle Berhad (Nestle) menanam 500 pokok bakau minyak di Taman Alam Kuala Selangor di sini, hari ini, sebagai inisiatif pemulihan spesis itu.

Penanaman anak pokok bakau itu atau 'rhizophora apiculata' dilakukan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Impact Revolution Enterprise.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Juan Aranols berkata, pihaknya sebelum itu melancarkan projek RELeaf pada September tahun lalu dengan sasaran menanam tiga juta pokok di seluruh Malaysia menjelang 2023.

Beliau berkata, projek itu menyusuli projek Kinabatangan ReLeaf iaitu program perintis bagi menanam sejuta pokok di Sabah, juga disempurnakan tahun lalu.

"Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengehadkan capaian kami ke kawasan penanaman dan melengahkan pelaksanaan projek RELeaf. Bagaimanapun, kami menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya.

"Setakat ini, tapak semaian rakan kerjasama sudah mempunyai hampir satu juta anak benih dan anak pokok pelbagai spesies asli yang tumbuh subur dan sihat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sekitar program penanaman anak pokok bakau minyak anjuran Nestle Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Impact Revolution Enterprise di Taman Alam Kuala Selangor. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Sekitar program penanaman anak pokok bakau minyak anjuran Nestle Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Impact Revolution Enterprise di Taman Alam Kuala Selangor. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Juan berkata, menjelang akhir tahun ini kira-kira 300,000 tanaman itu akan dipindahkan ke kawasan penanaman akhir.

"Selepas PKP tamat, pasukan kami menggandakan usaha dan sedang menggiatkan lagi aktiviti penanaman.

"Kami juga menjalin kerjasama dalam dan di luar rantaian bekalan selain meneroka kerjasama selanjutnya dengan agensi terbabit untuk menggiatkan dan meluaskan program ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai perancangan kukuh dan sumber yang tersedia untuk menanam 1.3 juta pokok tahun depan, diikuti 1.4 juta batang pokok pada 2023.

"Kami benar-benar komited untuk mencapai sasaran emisi karbon sifar bersih menjelang 2050 dengan matlamat pengurangan emisi sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

"Inisiatif penanaman semula hutan ini akan disokong oleh pelaksanaan amalan pertanian regeneratif di ladang cili, kopi dan juga sawah padi yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 7:08 PM