JUAN Aranols dan Chew Soi Ping, Pengarah Eksekutif, Jualan, Nestlé (Malaysia) Berhad Chew Soi Ping menanam anak pokok semasa acara penanaman pokok Nestlé Cares di Estet Jernih TDMP di Kemaman, Terengganu.
JUAN Aranols dan Chew Soi Ping, Pengarah Eksekutif, Jualan, Nestlé (Malaysia) Berhad Chew Soi Ping menanam anak pokok semasa acara penanaman pokok Nestlé Cares di Estet Jernih TDMP di Kemaman, Terengganu.
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Nestlé Malaysia bekerjasama dengan TDM Plantation (TDMP) sebagai rakan penanaman terbaharunya dengan memperuntukkan tanah seluas 514 hektar di ladang bagi menanam 350,000 pokok.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, Projek RELeaf sebahagian daripada strategi Nestlé untuk menentang kesan perubahan iklim dan mengurangkan emisi karbon dengan melindungi hutan serta kepelbagaian biodiversiti di Malaysia.

"Kami berhasrat untuk melupuskan karbon sebanyak 700,000 tan dalam tempoh 10 tahun menerusi projek RELeaf ini.

"Aktiviti penanaman kami tertunda buat sementara waktu sepanjang tempoh sekatan pergerakan Covid-19 tetapi projek terbabit kini sudah dilaksanakan kembali sepenuhnya.

"Kami bersedia untuk mencapai angka dua juta dalam tempoh 12 bulan akan datang dan menanam tiga juta menjelang awal 2025.

"Kami berharap kerjasama dengan TDMP ini juga bakal menjadi inspirasi kepada pihak lain untuk menyertai kami dalam perjalanan ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari untuk Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim bertekad untuk melaksanakan strategi pertumbuhan untuk mengurangkan emisi gas rumah hijau menerusi program berkenaan.

"Inisiatif ini ternyata satu usaha yang terpuji oleh Nestlé Malaysia dan kami amat gembira untuk terbabit sama. Pembabitan ini juga menyumbang kepada usaha kami menjamin ekosistem yang sihat bagi negara," katanya.

Nestle bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan untuk meluaskan usahanya termasuk rakan kerjasama seperti Sime Darby Plantation Berhad (SDP) mencapai kemajuan positif dalam program penanaman semula hutan selama ini.

Nestle sudah menyempurnakan fasa pertama untuk menanam tiga juta pokok sempena Hari Alam Sekitar Sedunia dalam program penghutanan semula Projek RELeaf.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 3:55 PM