MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) dan Juan Aranols (kanan) pada majlis ikrar yang menandakan peralihan Nestlé Malaysia kepada penggunaan 100 peratus RE melalui program GET.
MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) dan Juan Aranols (kanan) pada majlis ikrar yang menandakan peralihan Nestlé Malaysia kepada penggunaan 100 peratus RE melalui program GET.

NESTLÉ Malaysia mengumumkan bahawa bermula 1 Januari 2022, ia akan beralih sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) di seluruh operasinya di Malaysia.

Langkah ini akan membolehkan syarikat mengurangkan emisi yang bersamaan 75,000 tan karbon dioksida (Co2) setiap tahun.

Malah, syarikat akan mempercepatkan usaha dan memenuhi komitmennya untuk memperoleh 100 peratus bekalan elektrik daripada sumber RE menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, langkah ini dapat dilaksanakan menerusi program Tarif Elektrik Hijau (GET), yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dengan kerjasama TNBX Sdn Bhd, anak syarikat Tenaga Nasional Berhad, pada akhir November 2021.

"Nestlé Malaysia adalah satu daripada sembilan syarikat korporat yang berikrar untuk menyokong program ini dan antara yang pertama untuk menyempurnakan proses kelulusan.

"Dengan ini, semua kemudahan operasi syarikat di Malaysia akan beralih sepenuhnya ke RE," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha mencorakkan masa depan lebih hijau untuk semua, dan akan terus berusaha mengurangkan kesan alam sekitar.

"Dengan menyokong dan menyertai program Tarif Hijau yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, kami kini boleh memenuhi keperluan tenaga elektrik kami daripada kuasa solar dan hidroelektrik yang dibekalkan oleh TNBX.

"Peralihan ini akan membolehkan kami menerima Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (mREC), sekali gus menyumbang kepada komitmen kami untuk mengurangkan emisi gas rumah hijau menjelang 2030 dan mencapai emisi sifar bersih menjelang 2050.

"Kami juga menyumbang kepada wawasan negara Malaysia untuk mempercepatkan pembangunan RE," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan TNBX Sdn Bhd, Ir Nirinder Singh Johl berkata, pihaknya berbesar hati kerana terdapat syarikat global seperti Nestlé Malaysia yang menyokong program GET, yang memberikan capaian kepada tenaga bersih sebagai insentif kepada rakyat Malaysia untuk lebih bersifat mesra alam dan mengurangkan jejak karbon dalam penggunaan elektrik.

"Ini sudah pasti menyumbang kepada agenda pembangunan lestari negara, dan kami berharap syarikat-syarikat lain akan menyusul," katanya.

Inisiatif ini adalah satu daripada pelbagai inisiatif yang diguna pakai oleh Nestlé Malaysia dalam perjalanan syarikat ke arah emisi sifar bersih dan menggiatkan usaha untuk meningkatkan kecekapan alam sekitar di seluruh operasinya, termasuk, tindakan berterusan untuk mengurangkan penggunaan air dan emisi CO2 setiap tan produk yang dijual.

Ia juga menggabungkan program penanaman semula hutan seperti Projek RELeaf dan usaha untuk mengguna pakai kaedah Pertanian Regeneratif dalam rantaian bekalan syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 6:10 AM