Pusat beli-belah AEON.
Pusat beli-belah AEON.
Alzahrin Alias


Kuala Lumpur: AEON Co (M) Bhd (AEON) akan membangunkan platform e-dagang yang komprehensif pada akhir suku ketiga 2021 memandangkan pandemik Covid-19 memacu permintaan terhadap barangan dalam talian.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Shafie Shamsuddin berkata, platform e-dagang yang dikenali sebagai 'My AEON To Go' akan diperkenalkan pada 2 Ogos nanti.

"Platform ini bukan sahaja menjual produk yang terdapat dirangkaian pasaran AEON serta anak syarikat kami iaitu AEON Wellness dan Daiso, tetapi turut menjual produk daripada penyewa kami seperti makanan dan minuman.

"Ia akan menjadi platform e-dagang yang menyeluruh, semua yang ada di pasar raya AEON akan terdapat di sini.

"Bagi permulaan tahun ini, kami meletakkan sasaran sumbangan sekitar dua peratus kepada pendapatan keseluruhan kumpulan sebelum ditingkatkan kepada 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AEON ke-36 secara maya, hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AEON, Shafie Shamsuddin.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AEON, Shafie Shamsuddin.

Menurutnya, AEON juga akan membuka 10 kedai khusus di bawah jenama 'Komai-So' selain tiga rangkaian kedai keperluan rumah 'Home Coordy' pada tahun ini.

Dalam pada itu, menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberi impak kepada pendapatan kumpulan secara keseluruhan, namun ia akan kekal stabil.

"Kami menjangkakan pendapatan meningkat sedikit atau kekal sama dengan tahun lalu sekitar RM4.05 bilion, walaupun hakikatnya tahun ini kita berhadapan dengan lonjakan kes Covid-19 serta pelaksanaan pelbagai siri PKP.

"AEON juga dapat mengadaptasi situasi pasaran ketika ini dan bersedia jika sekatan pergerakan penuh dilanjutkan oleh kerajaan dengan menumpukan kepada jualan digital. Ini adalah persediaan awal kami untuk menghadapi tahun mendatang.

"Kumpulan berharap pandemik ini akan segera pulih dan pelaksanaan vaksin Covid-19 akan dipertingkatkan dan dipercepatkan agar dapat mencapai imuniti kelompok," katanya.

AEON mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM101.8 juta bagi tahun kewangan 2020, lebih rendah berbanding RM196.9 juta pada tahun kewangan 2019.

Pendapatannya merosot 10.7 peratus kepada RM4.05 bilion berbanding tahun sebelumnya berikutan jualan yang rendah dicatatkan dalam segmen pakaian dan rumah, berikutan penutupan sepanjang tempoh PKP dan peningkatan semula kes Covid-19 pada suku keempat 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:12 PM