Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my


Sepang: Pergerakan trafik penumpang di lapangan terbang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menunjukkan tanda positif sejak negara ini dilanda Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jumlah penumpang antarabangsa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu hanya sekitar dua peratus manakala kedatangan penumpang tempatan mencatatkan tiga peratus.

Katanya, bagi pergerakan pada April hingga Mei pula, MAHB mencatatkan hampir tiada pergerakan penumpang walaupun lapangan terbang di negara ini masih dibuka ketika itu bagi memudahkan urusan pengendalian barangan keperluan serta penghantaran pulang rakyat Malaysia.

"Ia secara tidak langsung mempengaruhi pemain industri penerbangan tempatan di negara ini, bagaimanapun saya gembira kerana kini terdapat tanda pemulihan secara beransur dalam pergerakan lalu lintas penumpang.

"Pada Ogos lalu kita lihat trafik penumpang mula meningkat iaitu 1.3 juta penumpang berbanding Jun lalu hanya 430,000 penumpang dicatatkan.

"Namun di peringkat antarabangsa Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) meramalkan perjalanan jarak dekat hanya akan pulih tiga tahun lagi manakala perjalanan jarak jauh pula tidak akan pulih sehingga 2024," katanya.

DR Wee Ka Siong ketika merasmikan platform e-Dagang shopMYairports di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Wee Ka Siong ketika merasmikan platform e-Dagang shopMYairports di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan platform e-Dagang shopMYairports iaitu laman web menjual pelbagai produk dari lapangan terbang secara dalam talian.

Hadir sama, Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Sementara itu, mengenai platform e-Dagang diperkenalkan itu, Mohd Shukrie berkata, pihaknya mengunjurkan peningkatan 10 peratus atau RM280 juta nilai jualan menerusi platform berkenaan.

Katanya, orang ramai kini boleh membuat pembelian secara dalam talian pelbagai produk yang dijual di lapangan terbang dengan harga yang berpatutan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 8:23 PM