AEON memperuntukan sejumlah besar pelaburan bagi memperkukuhkan kehadirannya di Malaysia.
AEON memperuntukan sejumlah besar pelaburan bagi memperkukuhkan kehadirannya di Malaysia.
Oleh Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: AEON Co (M) Bhd (AEON) memperuntukan sejumlah besar pelaburan bagi memperkukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan menaik taraf kemudahan sedia ada selain melonjakkan jualan dalam talian.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Shafie Shamsuddin berkata, di sebalik impak yang disebabkan pandemik Covid-19, AEON kekal jenama runcit utama negara selain bakal mengembangkan lagi penguasaan pasarannya dan memberi lebih keselesaan kepada pelanggan, peruncit serta pekerja.

Sehubungan itu, beliau berkata, AEON memperuntukan perbelanjaan modal RM251 juta tahun ini bagi tujuan menaik taraf kemudahan di samping mengukuhkan sistem teknologinya.

Katanya, daripada jumlah itu, 40 peratus digunakan bagi pengukuhan teknologi terutama bagi membangunkan platform e-dagang yang komprehensif pada akhir suku ketiga 2021 memandangkan pandemik meningkatkan permintaan terhadap barangan dalam talian, malah AEON merekodkan lonjakan peratusan yang memberangsangkan sepanjang tempoh ini.

"Lantaran itu, AEON akan membangunkan platform e-dagang yang dikenali sebagai 'My AEON To Go' pada 2 Ogos ini. Platform ini bukan sahaja menjual produk yang terdapat dirangkaian pasaran AEON serta anak syarikat kami iaitu AEON Wellness dan Daiso, tetapi turut menjual produk daripada penyewa kami seperti makanan dan minuman.

"Ia akan menjadi platform e-dagang yang menyeluruh, semua yang ada di pasar raya AEON akan terdapat di sini.

"Bagi permulaan tahun ini, kami meletakkan sasaran sumbangan sekitar dua peratus kepada pendapatan keseluruhan kumpulan sebelum ditingkatkan kepada 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AEON ke-36 secara maya, semalam.

Shafie berkata, baki 60 peratus perbelanjaan modal akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan AEON sedia ada, sekali gus memberikan suasana baharu kepada jenamanya.

Beliau berkata, AEON juga akan membuka 10 kedai khusus di bawah jenama 'Komai-So' selain tiga rangkaian kedai keperluan rumah 'Home Coordy' pada tahun ini.

Mengenai prestasi kewangan keseluruhan tahun ini, beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberi impak kepada pendapatan kumpulan secara keseluruhan, namun ia akan kekal stabil.

"Kami menjangkakan pendapatan meningkat sedikit atau kekal sama dengan tahun lalu sekitar RM4.05 bilion, walaupun hakikatnya tahun ini kita berhadapan dengan lonjakan kes Covid-19 serta pelaksanaan PKP.

"AEON juga dapat mengadaptasi situasi pasaran ketika ini dan bersedia jika sekatan pergerakan penuh dilanjutkan oleh kerajaan dengan menumpukan kepada jualan digital. Ini adalah persediaan awal kami untuk menghadapi tahun mendatang.

"Kumpulan berharap pandemik ini akan segera pulih dan pelaksanaan vaksin Covid-19 akan dipertingkatkan dan dipercepatkan agar dapat mencapai imuniti kelompok," katanya.

AEON mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM101.8 juta bagi tahun kewangan 2020, lebih rendah berbanding RM196.9 juta pada tahun kewangan 2019.

Pendapatannya merosot 10.7 peratus kepada RM4.05 bilion berbanding tahun sebelumnya berikutan jualan yang rendah dicatatkan dalam segmen pakaian dan rumah, berikutan penutupan sepanjang tempoh PKP dan peningkatan semula kes Covid-19 pada suku keempat 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:02 AM