Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: UDA Holdings Berhad menawarkan tujuh hingga 10 peratus rebat kepada pembeli hartanah di projek UDA terpilih, di samping peluang memenangi pelbagai hadiah menarik berjumlah RM500,000 dalam Kempen 'UDA 50 Golden Offers' sempena sambutan Jubli Emas tahun ini.

Projek UDA yang terpilih adalah Residensi Legasi Kampung Bharu, Residensi Akasia Jubilee dan Residensi 38 Bangsar di Kuala Lumpur; Unit komersial Elevate, Kondominium Evoke dan banglo Crescent Dew di Pulau Pinang; Pisonia Ville dan Rossa Terrace di Johor Bahru; Pusat Komersial Coast dan banglo Sarai di Terengganu, serta rumah berkembar semi-D Pelindung Heights di Pahang.

Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, kempen ini adalah sebagai tanda menzahirkan terima kasih kepada semua pelanggan UDA yang telah memberikan sokongan kepada UDA.

"Kempen UDA 50 Golden Offers adalah bagi mengetengahkan produk-produk hartanah UDA di seluruh negara dan usaha menggalakkan pasaran hartanah tempatan dan mempromosikan pemilikan hartanah bertepatan dengan peranan UDA memperkasakan gaya hidup lestari.

"Kempen ini adalah program yang pertama daripada pelbagai program lain yang telah disusun untuk tahun ini.

"Kami berharap, kempen yang menawarkan pelbagai hartanah meliputi kediaman dan komersial di seluruh Malaysia ini bakal menarik perhatian pembeli yang berpotensi," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Kempen 'Uda Golden Offers' di Uda Legasi Kampung Bharu, di sini, hari ini.

Bagi tawaran Kempen 'Uda Golden Offers', setiap pelanggan yang membelanjakan RM100,000 produk hartanah UDA akan berhak mendapat satu borang penyertaan.

Sementara itu, beliau berkata, sejak 1991, UDA merintis jalan pembangunan untuk memperkembangkan pembinaan dan pemilikan hartanah di bandar khusus bagi Bumiputera termasuk memiliki dan menduduki premis-premis perniagaan di kawasan bandar.

Menurutnya, UDA menawarkan harga rumah mampu milik dan berpatutan kepada golongan yang tertentu seperti golongan B40, M40 dan T20.

Dalam pada itu, antara hadiah menarik yang ditawarkan adalah hadiah utama Proton X50, lima ketul emas 50 gram dan lima motosikal Yamaha Y15ZR.

Kempen 'UDA Golden Offers' ini terbuka kepada semua pembeli produk UDA bermula sejak 1 Januari sehingga 31 Oktober 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 3:38 PM