COAST @Kemaman antara projek komersial ditawarkan UDA.
COAST @Kemaman antara projek komersial ditawarkan UDA.
HM Digital

UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset serta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) merasmikan kempen 'UDA 50 Golden Offers' sempena sambutan jubli emas pada tahun ini.

Kempen 'UDA 50 Golden Offers' dilancarkan bertujuan mengetengahkan produk hartanah UDA di seluruh negara.

Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, selain daripada tujuh hingga 10 peratus rebat untuk projek UDA terpilih di seluruh Malaysia, pembeli turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik dan menerima pelbagai insentif berjumlah lebih RM500,000.

Katanya, keseluruhan 50 hadiah untuk direbut termasuk hadiah utama berupa sebuah kereta Proton X50, lima ketul emas seberat 50 gram dan lima motosikal Yamaha Y15ZR.

"Kami berbangga dapat berada di sini, hari ini dan melancarkan 'UDA 50 Golden Offers' bersama rakan-rakan media. Kempen ini adalah cara kami menzahirkan 'Terima Kasih' kepada semua penyokong UDA di luar sana.

"Pada Oktober tahun lalu, kami memulakan sambutan Jubli Emas UDA dengan menganjurkan pertandingan reka bentuk logo ulang tahun ke-50 UDA," katanya.

38 Bangsar @ Kuala Lumpur ditawarkan Uda kepada orang ramai untuk memilikinya.
38 Bangsar @ Kuala Lumpur ditawarkan Uda kepada orang ramai untuk memilikinya.

Tambahnya, kempen hartanah 'UDA 50 Golden Offers' adalah program yang pertama daripada pelbagai program lain yang sudah disusun untuk tahun ini.

"Kami berharap kempen yang menawarkan pelbagai hartanah meliputi kediaman dan komersial di seluruh Malaysia ini bakal menarik perhatian pembeli berpotensi.

"Inisiatif ini juga dapat menggalakkan pasaran hartanah tempatan dan mempromosikan pemilikan hartanah. Ini sejajar dengan prinsip utama UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari," katanya.

Katanya, Kempen 'UDA 50 Golden Offers,' Milik dan Menang dibuka kepada semua pembeli produk UDA Property bermula 1 Januari hingga 31 Oktober ini

"Untuk tawaran 'UDA 50 Golden Offers', setiap pelanggan akan mendapatkan satu penyertaan dengan setiap RM100,000 yang dibelanjakan untuk pembelian hartanah UDA.

"Sementara itu, untuk pembeli sedia ada yang sudah mendapatkan hartanah sebelum tarikh kempen bermula (SPA ditandatangani pada tahun 2020) mereka layak menerima dua penyertaan untuk setiap RM100,000 yang telah dibelanjakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 6:39 AM