Antara barangan segar yang ditawarkan di Segar@Mesra. -FOTO PETRONAS
Antara barangan segar yang ditawarkan di Segar@Mesra. -FOTO PETRONAS
Nurmastura Zulkafli

PELAKSANAAN kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan usahawan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mati akal memikirkan cara untuk terus bertahan dalam dunia perniagaan.

Sekatan yang dilakukan oleh kerajaan bagi melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 umpama memberikan noktah kepada usahawan yang baru hendak bermula semula.

ImageMajlis pelancaran Segar@Mesra yang diadakan awal Januari lalu. - FOTO PETRONAS.

Bagi mengurangkan impak yang terpaksa ditanggung oleh usahawan PKS, PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri makanan (MAFI) memperkenalkan inisiatif baru, Segar@Mesra.

Konsep yang dibawakan adalah lebih mudah di mana pengguna dapat menikmati hasil segar yang diusahakan terus daripada petani tempatan.

Antara produk makanan yang ditawarkan ialah ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan yang dijual pada harga berpatutan. 

Segar@Mesra merupakan kesinambungan kempen Love Local yang menggalakkan masyarakat membeli barangan lokal yang ditawarkan di Kedai Mesra bagi membantu usahawan tempatan.

Melalui kempen Love Local setiap pembelian akan menyumbang kembali kepada ekonomi domestik kerana ia hanya menawarkan produk dan perkhidmatan tempatan.

Sejak dilancarkan pada September 2020, Love Local bekerjasama dengan lebih 50 jenama tempatan dengan menawarkan produk daripada F&B, kesihatan dan kecantikan serta hotel dan pelancongan.

Segar@Mesra - Dari ladang kepada pengguna

ImageIkan segar beku turut dijual di Segar@Mesra. - FOTO PETRONAS

Melalui usaha ini, ia secara tidak langsung memberi pengguna akses mudah mendapatkan hasil segar pada harga berpatutan dan petani tempatan dapat menjana pendapatan secara konsisten.

Pembungkusan dan penghantaran hasil diuruskan oleh tiga agensi utama di bawah MAFI, iaitu Pertubuhan Peladang Nasional (NAFAS), Persatuan Nelayan Nasional (NEKMAT) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), untuk memastikan kualiti produk terjaga. 

Buat masa ini terdapat 40 petani dan nelayan yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Segar @ Mesra boleh didapati di empat stesen PETRONAS terpilih;

  • Stesen Unikeb 2, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi
  • Stesen Persiaran Jaya / Sg Ramal Dalam
  • Stesen Prima Saujana 2, Kajang
  • Stesen Pelangi Semenyih

Stesen ini dipilih secara strategik berdasarkan profil masyarakat sekitar, yang menyasarkan kumpulan daripada golongan M40 dan B40.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani, PETRONAS komited untuk menyebarkan impak sosial yang positif sebagai agenda keberlangsungannya.

"Kami mempunyai rangkaian stesen besar di seluruh negara dan secara aktif menyokong pengusaha tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka bersama kami melalui kempen seperti Love Local, dan Segar@Mesra," katanya.

Promosi usahawan tempatan

ImagePilihan sedia dimakan di Makan@Mesra. - FOTO PETRONAS

Selama 25 tahun, PDB sentiasa menyokong perkembangan perniagaan tempatan, dengan lebih 350 vendor berdaftar, pelbagai rangkaian produk berkualiti kini boleh didapati di Kedai Mesra di seluruh negara.

Tahun lalu, PDB memperkenalkan Makan@Mesra, sudut restoran di Kedai Mesra yang menawarkan makanan premium yang segar dan seimbang pada harga yang berpatutan.

Menu itu kemudian diperluas merangkumi makanan Cina tempatan dan Barat seperti sandwich club dengan daging lembu, salad dengan salmon salai, ayam panggang, nasi dan ayam kung pao, English trifle, puding mentega-roti, oat semalam, buah-buahan campuran, dalam pelbagai lagi.

Jelas Azrul, jika dahulu pelanggan hanya dapat menikmati sarapan pagi dengan cepat dan sedia dimakan pada harga yang berpatutan. 

Kini Makan@Mesra, menawarkan lebih banyak pilihan makanan yang berkualiti kepada pelanggan.

"Kami ingin memastikan pelanggan mempunyai pilihan hidangan sedia dimakan yang seimbang sepanjang hari. 

"Kami turut berharap dapat mengembangkan lagi menu kerana kami berjaya menemui ramai pembekal tempatan yang berpotensi dan sesuai dengan konsep Makan@Mesra," kata Azrul.

Kini dengan Segar@Mesra dan Makan@Mesra, pengguna hanya perlu ke stesen PETRONAS berhampiran untuk membeli bekalan makanan harian dan sedia untuk dimakan. 

Sementara itu, jangan lupa untuk layari platform interaktif www.lovelocal.com.my bagi menyemak tawaran yang tersedia di kawasan berhampiran anda.

Inisiatif ini merangkumi kerjasama lebih 70 jenama tempatan di pelbagai industri dari makanan dan minuman, kecantikan, hotel, kesihatan dan pelancongan hingga pengalaman gaya hidup.

Tidak terkecuali jenama terkemuka seperti Tealive, Marrybrown, Royale Pharma, Kings Bakery, Berjaya Group, dan hotel Ri-Yaz Group.

Ayuh pilih barangan buatan Malaysia untuk bersama menjana semula ekonomi negara.

#LoveLocal #SupportLocal #KitaAdaKita

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 9:38 AM