Kedai Mesra menawarkan pelbagai pilihan barangan termasuk produk makanan dan minuman buatan tempatan. - FOTO Hiasan
Kedai Mesra menawarkan pelbagai pilihan barangan termasuk produk makanan dan minuman buatan tempatan. - FOTO Hiasan
Mohammad Asyraf Khalib

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara belum menampakkan penghujungnya.

Saban hari, berita berkaitan perniagaan gulung tikar, pengecilan operasi syarikat, rakyat hilang pekerjaan, antara isu paling membimbangkan di Malaysia.

Namun, disebalik pelbagai kisah duka kesukaran menguruskan perniagaan, sebenarnya masih ada perusahaan yang tidak hanya kekal bertahan, tetapi tetap berkembang maju. 

Ia berkat sokongan dan tumpuan berterusan kepada jenama tempatan menerusi pelbagai inisiatif diketengahkan beberapa pihak bagi membantu produk Malaysia kekal berdaya saing. 

Pengasas jenama Antara Terbaik (AT), Abdul Razak Osman dan isterinya Nur Hidayu Hilmi, antara peniaga yang meluahkan rasa syukur dengan perkembangan perniagaan mereka.

Ia berikutan, produk istimewa kebanggaan mereka iaitu Durian Crepe, terus mencatat peningkatan jualan luar biasa ketika pandemik.

Menurut Razak, Durian Crepe yang dibuat menggunakan isi durian D24 asli itu dipasarkan secara meluas di pasar raya besar dan kedai serbaneka termasuk Kedai Mesra PETRONAS.

Beliau mengakui, pada awalnya perniagaannya terjejas apabila produk yang ditempatkan di pasar raya kurang terjual kerana tidak ramai pengunjung ke pusat membeli-belah. 

Bagaimanapun, beliau menarik nafas lega kerana jualan produk di Kedai Mesra terus menunjukkan peningkatan.

"Saya boleh katakan Kedai Mesra adalah penyelamat yang banyak membantu saya mengembangkan perniagaan walaupun berdepan situasi mencabar seperti sekarang," katanya.

ImageAT Durian Crepe

Razak dan isteri menyertai PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) sebagai pembekal Kedai Mesra  pada Januari 2021. 

Bermula dengan 30 Kedai Mesra, kini mereka mengembangkan perniagaan ke lebih 300 Kedai Mesra di seluruh negara termasuk berjaya mengeksport produk ke Brunei.

Selama 25 tahun, PDB menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan menerusi Program Keusahawanan Tempatan yang menjadi sebahagian agenda kelestariannnya. 

Sehingga kini, PDB mempunyai lebih daripada 350 vendor tempatan yang membekalkan produk di Kedai Mesra seluruh negara. 

Ia menawarkan pelbagai pilihan barangan makanan dan minuman buatan tempatan termasuk kerepek, roti, jus serta menu kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan mi goreng.

Kejayaan manis

Seorang lagi usahawan, Rose Yasmin Abdul Karim turut berkongsi kisah kejayaan selepas mengikuti program sama pada 2016. 

Disahkan menghidap pra diabetes, Pengasas Bersama Pops Malaya itu mendapat ilham untuk mencipta ais krim jenis popsicle yang lebih sihat bagi memenuhi keinginannya.

Pops Malaya diperbuat daripada buah-buahan segar dan bahan semula jadi tanpa bahan bahan pengawet, perasa tiruan atau pewarna makanan.

Pada 2019, Pops Malaya antara jenama yang tersenarai dalam Kempen Beli Barangan Malaysia yang dianjurkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan PDB dalam usaha mengukuhkan produk tempatan.

Daripada lebih 30 Kedai Mesra, Pops Malaya kini memperluas pasaran produknya ke lebih 790 Kedai Mesra di seluruh negara.

Sebagai nilai tambah, Yasmin dan pasangannya Zuraini Zulkifli, turut memperkenal produk berkonsep freeze-to-eat, membolehkan popsicle disimpan di rak biasa pada suhu bilik sekali gus mengurangkan kos untuk membeli peti sejuk yang mahal. 

Menurut Yasmin, mereka mengambil masa selama enam bulan untuk menjalankan proses penyelidikan, percubaan termasuk berdepan beberapa kegagalan sebelum berjaya menghasilkan formula yang sempurna.

Inovasi ini turut menjadikan Pops Malaya sebagai jenama pertama di Malaysia yang menawarkan cara penggunaan ais krim yang unik dan mudah.

ImageDari kiri, Pengasas Bersama Zuraini dan Rose.

"Sewaktu baru bermula pada 2020, pertumbuhan perniagaan kami dihambat cabaran pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini adalah tempoh paling mencabar apabila jualan produk sangat perlahan. 

"Namun, kami bernasib baik kerana mendapat manfaat daripada sistem dagangan digital PDB yang banyak membantu memudahkan proses pengurusan stok. 

"Kami berjaya menjimatkan sumber dan masa kerana tidak perlu pergi ke setiap stesen secara manual kerana semuanya dapat dipantau dengan mudah secara digital, bermula daripada stok, pesanan hingga pengiriman," katanya.

Disokong jenama hebat

Selain itu, Pop Chiz pula adalah antara makanan ringan paling laris di Kedai Mesra. 

Pengasasnya, Edyfaizullah Jamil, berkata selepas menyertai PDB pada Oktober 2020, beliau berjaya mengembangkan perniagaan di lebih 400 Kedai Mesra.

Snek lazat yang dihasilkan daripada kulit popia rangup itu, ditawarkan dalam empat pilihan rasa unik iaitu Telur Asin Baba Nyonya, Tomato Burito, Kari Mamak dan Rasa Cheese Lebih Padu.

Menurut Edy, beliau berhutang kejayaan dengan PDB kerana produknya turut menumpang populariti jenama PETRONAS.

"Perniagaan saya berkembang pesat sejak bergabung dengan Kedai Mesra dan jenama kami juga secara tidak langsung terkenal berkat rangkaian stesen PETRONAS yang luas.

"Kami merancang untuk memasarkan produk di seluruh negara pada 2022 dan memperkenalkan lebih banyak pilihan perasa Pop Chiz dalam waktu terdekat," katanya.

ImagePop Chiz hadir dalam empat pilihan rasa unik.

Sementara itu, pemilik Dream Car Performance Garage, Tan Chee Kit turut mengakui kepentingan mendapat sokongan daripada jenama terkenal, terutama ketika memulakan perniagaan dalam situasi mencabar seperti sekarang. 

Tan yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengurus Selepas Jualan Mercedes selama 14 tahun, memutuskan untuk membuka bengkelnya sendiri selepas beliau menerima tawaran daripada PETRONAS AutoExpert. 

Menerusi kerjasama itu, bengkel Tan berpeluang memanfaatkan jenama PETRONAS, di samping menggunakan minyak pelincir yang berkualiti sambil menikmati skim penyelesaian serba lengkap termasuk, sokongan pemasaran, program perdagangan yang berkesan dan perundingan untuk mengembangkan perniagaan pada masa hadapan.

ImageGaraj Prestasi Kereta PETRONAS AutoExpert Dream

"Bermula dari Mercedes dengan mengasah kemahiran saya di Jerman, tidak ada yang lebih penting bagi saya selain profesionalisme, kualiti dan standard. 

"Justeru, berganding bahu dengan jenama terkenal seperti PETRONAS adalah keputusan terbaik yang saya buat dalam usaha menjadikan bengkel saya menepati piawaian antarabangsa sekali gus menawarkan produk berkualiti yang dibekalkan PETRONAS Lubricants," katanya.

Terletak di Puchong, bengkel PETRONAS AutoExpert Dream Car Performance Garage berkeluasan 7,000 kaki persegi dengan lapan ruang kerja, menawarkan perkhidmatan pusat sehenti termasuk pembaikan, servis, diagnosis, dan kerja badan. 

"Saya mengusahakan bengkel tepat sebelum PKP pertama diumumkan. Bayangkan memulakan perniagaan pada ketika aktiviti ekonomi terhenti, ia pasti sangat mencabar.

"Saya bernasib baik kerana dapat bertahan sejak satu tahun dan lapan bulan lalu. Sekarang kita kembali berniaga, saya hanya berharap semuanya akan bertambah baik mulai sekarang," tambahnya.

Love Local

Walaupun perjalanan untuk menuju pemulihan masih jauh, PDB melihat lebih banyak harapan dan bakat rakyat Malaysia yang cukup membanggakan perlu diperkasakan. 

Semuanya dalam semangat kebersamaan untuk membangunkan semula negara tercinta. 

Kempen Love Local diharap dapat memberi kesedaran mengenai banyaknya jenama tempatan di luar sana yang mampu menawarkan produk berkualiti setanding jenama antarabangsa. 

Kempen ini juga sebahagian usaha mendukung hasrat kerajaan mengajak rakyat Malaysia menyokong dan membeli produk tempatan bagi merangsang perbelanjaan domestik, seperti Kempen Beli Barangan Malaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai promosi Love Local atau sekiranya anda berminat menjadi sebahagian vendor pembekal tempatan PDB, layari www.mymesra.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 11:08 AM