HO (tiga dari kiri) selepas menandatangani MoU bagi penghasilan sarung tangan getah.
HO (tiga dari kiri) selepas menandatangani MoU bagi penghasilan sarung tangan getah.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) melalui Mah Sing Healthcare Sdn Bhd (Mah Sing Healthcare) meluaskan lagi pasarannya dalam segmen penjagaan kesihatan dan memperuntukkan kira-kira RM150 juta perbelanjaan modal (Capex) bagi pembinaan kilang pengeluaran sarung tangan pertamanya di Kapar, Klang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ho Hon Sang berkata, kapasiti pengeluaran kilang itu mampu mencapai sehingga 3.68 bilion sarung tangan getah setahun bagi fasa pertama pengeluaran yang dijangka bermula suku kedua 2021.

Katanya, kilang itu terletak di lokasi strategik di kawasan perindustrian yang dilengkapi pelbagai insfrastruktur dan menempatkan 12 barisan pengeluaran dengan kelajuan pengeluaran 38,000 sarung tangan sejam.

"Kami bersedia meneroka pasaran sarung tangan termasuk pasaran eksport dengan sasaran utama di Amerika Syarikat dan Eropah.

"Malaysia adalah pengeluar sarung tangan terbesar di dunia dengan empat pengeluar teratas dan sejumlah besar pemain yang lebih kecil," katanya pada sidang media maya sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Mah Sing Healthcare dengan beberapa pihak dalam sektor kesihatan, semalam.

"Kami sentiasa berhasrat tinggi dan menyasarkan untuk menjadi antara lima pengeluar sarung tangan teratas di Malaysia pada masa akan datang," katanya pada sidang media maya sempena majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Mah Sing Healthcare dengan beberapa pihak dalam sektor kesihatan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Ho berkata, permintaan terhadap sarung tangan akan sentiasa meningkat dan Mah Sing komited memenuhi permintaan bukan saja di pasaran tempatan, malah global.

Menurutnya, pihaknya akan mengembangkan bahagian pengeluarannya secara berperingkat dan menjangkakan mencapai 100 barisan pengeluaran yang berpotensi menghasilkan sehingga 30 bilion sarung tangan setahun.

Katanya, bagi merealisasikan sasaran untuk mengeksport sarung tangan getahnya, Mah Sing kini dalam proses memohon pensijilan yang diperlukan mengikut piawaian ditetapkan.

Mah Sing Healthcare adalah anak syarikat milik penuh Mah Sing Plastics Industries Sdn Bhd (MSPI).

Usaha bahru ini adalah sebahagian daripada rancangan kumpulan untuk memperluas bahagian pembuatannya dengan menceburkan diri dalam sektor penjagaan kesihatan, memanfaatkan pengalamannya sebagai pengeluar plastik selama empat dekad lalu dan disokong oleh potensi sinergi yang diperoleh dalam perniagaan sarung tangan kumpulan, perniagaan plastik dan hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 7:30 AM