LEONG (kiri) menunjukkan antara produk yang dihasilkan ketika lawatan bersama media ke Kilang Mah Sing Plastics di  Pelabuhan Klang.
LEONG (kiri) menunjukkan antara produk yang dihasilkan ketika lawatan bersama media ke Kilang Mah Sing Plastics di Pelabuhan Klang.

MAH Sing Group Berhad (Mah Sing) optimis meneroka peluang baharu dalam bidang kesihatan menerusi segmen pembuatan plastik.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pihaknya kini dalam proses perancangan untuk melaksanakannya melalui anak syarikatnya, Mah Sing Plastics Industries Sdn Bhd (MSPI).

"Pada masa ini, kami dalam peringkat awal perancangan, tetapi teruja untuk merealisasikan peluang pertumbuhan baru dalam bidang kesihatan.

"Kami berhasrat menerokai peluang dalam pengeluaran produk penjagaan kesihatan dengan memanfaatkan rekod prestasi MSPI yang sudah terbukti selain kepakaran sebagai pengeluar plastik di Malaysia dalam perniagaan yang berpotensi ini.

"Dengan sumber dan kepakaran bahagian plastik sedia ada, kami optimis untuk usaha yang bermanfaat ini," katanya pada Lawatan Media ke MSPI di sini, semalam.

Leong berkata, segmen plastik terus memberikan sumbangan positif kepada prestasi syarikat dengan perolehan RM76.1 juta dan mencatatkan keuntungan operasi RM3.34 juta bagi suku berakhir 31 Mac tahun ini.

"Tahun lalu, segmen plastik menyumbang pendapatan RM327.1 juta atau 18.3 peratus kepada syarikat," katanya.

Bahagian plastik Mah Sing mempunyai operasi di Malaysia dan Indonesia dengan operasi di negara ini menerusi anak syarikat milik penuh kumpulan, sementara operasi di Indonesia adalah anak syarikat 65 peratus dengan pelanggannya merangkumi Panasonic, Daihatsu, Toyota, Mitsubishi, Nissan, Mercedes Benz dan Suzuki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 7:20 AM