HO (kiri) dan Ghose bertukar dokumen selepas memeterai MoU di Kuala Lumpur.
HO (kiri) dan Ghose bertukar dokumen selepas memeterai MoU di Kuala Lumpur.
Wan Nur Ameera Meor Rozman


Kuala Lumpur: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Philips Lighting bagi membangunkan sistem pencahayaan pintar Philips Hue untuk unit kediaman Mah Sing.

Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Datuk Ho Hon Sang berkata, Caspia @ M Residence 2 antara unit kediaman premium yang terletak di Rawang menawarkan kemudahan prapemasangan teknologi pencahayaan pintar kepada pembeli rumah.

Philips Hue adalah penyelesaian pencahayaan tanpa wayar peribadi yang membolehkan pengguna mengawal lampu dari mana-mana menggunakan peranti pintar.

“Sebagai langkah awal perkongsian, Caspia rumah kluster dua tingkat yang dibangunkan di perbandaran Mah Sing seluas 480 ekar diaktifkan dengan teknologi pintar dikuasakan produk pencahayaan terkini,” katanya pada majlis MoU di sini, semalam.

Tambahnya, Caspia akan menjadi projek pertama di Malaysia melaksanakan penyelesaian pra-pemasangan pencahayaan pintar pada unit rumah sedia dihuni.

Pengarah Urusan Eksport Philips Lighting Malaysia dan Singapura Alok Ghose berkata, sistem pencahayaan terbaru itu dikawal mengikut tetapan pemasa program melalui peranti mudah alih pemilik rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:25 AM