NAJMI (tiga dari kanan) bertukar dokumen dengan Mujibburrahman  pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman, semalam.
NAJMI (tiga dari kanan) bertukar dokumen dengan Mujibburrahman pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman, semalam.
Sri AyuKartika Amri


PMB Investment Berhad, syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) akan menyusun semula portfolio pelaburannya tahun ini dengan memberi tumpuan terhadap sektor penjagaan kesihatan dan sarung tangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Najmi Mohamed berkata, pihaknya perlu peka terhadap reaksi pasaran semasa terutama apabila terjadi wabak koronavirus baharu.

Katanya, sebagai satu daripada syarikat pelopor pengurusan saham amanah di Malaysia, PMB Investment perlu mempelbagaikan produk yang meliputi keseluruhan pelaburan lebih besar dan pada masa sama mampu memaksimumkan pulangan.

“Bidang penjagaan kesihatan dan sarung tangan adalah sektor yang tepat untuk diceburi ketika ini dan kami akan mengelak membuat pelaburan dalam sektor pelancongan.

“Kami perlu menyusun semula dan menyeimbangkan portfolio sedia ada terutama untuk jangka pendek ini bagi berdepan dan bersedia dengan impak wabak ini,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PMB Investment dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi BSN, Datuk Yunos Abd Ghani; Timbalan Ketua Eksekutifnya, Razali Othman; Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid; Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Zulfikri Osman dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pelaburan Mara, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

MoU itu bagi melantik BSN sebagai Perunding Unit Amanah Institusi (IUTA) ketujuhnya untuk mempromosi dan mengedar dua daripada 15 produk PMB Investment melalui cawangan BSN di seluruh negara.

Najmi berkata, kolaborasi PMB Investment-BSN dijangka mampu melebarkan saluran pengedarannya memandangkan PMB Investment adalah syarikat pengurusan unit amanah yang tidak dimiliki oleh mana-mana institusi kewangan.

“PMB Investment berusaha memberi pulangan lestari kepada pelabur dan melalui kerjasama dengan BSN kami menyasarkan jualan antara RM10 juta hingga RM20 juta hingga akhir 2020.

“BSN berupaya menjadi penghubung dan sumber akses kepada pelanggan dan pelabur sedia ada dan kami jangka 20 peratus daripada pelaburnya akan memiliki dana PMB Investment,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 7:10 AM