KIM Yang Hyun. FOTO Arkib NSTP
KIM Yang Hyun. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

CJ Wow Shop, menyokong produk tempatan dengan menawarkan barangan platform keusahawanan di Desamall.

Ketua Pegawai Eksekutif MP CJ ENM Sdn Bhd, Kim Yang Hyun berkata, pihaknya bekerjasama dengan Elokal Sdn Bhd untuk membawa usahawan tempatan ke platform CJ Wow Shop sekali gus mengembangkan penawaran sedia ada.

"Kami gembira dapat membantu usahawan tempatan dan menyokong inisiatif kerajaan untuk memulihkan ekonomi pada masa-masa sukar ini.

"Pelanggan kini boleh membeli produk tempatan dengan diskaun istimewa melalui pelbagai pilihan kaedah pembayaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Usaha sama di antara Elokal, pentadbir program Desamall@KPLB dan CJ WOW SHOP menyaksikan usahawan tempatan menyertai platform membeli belah CJ Wow Shop di laman web dan aplikasi mudah alih.

Sehingga kini sejumlah 1,600 usahawan tempatan sudah menyertai inisiatif program Desamall@KPLB.

Lebih 100 produk dari Desamall@KPLB akan ditawarkan di CJ Wow Shop dan ini terdiri daripada barangan makanan, minyak masak, minyak wangi, barangan pencuci rumah dan pelbagai pes masakan.

Bermula 10 hingga 16 Ogos ini, pelanggan CJ Wow Shop yang membuat pembelian kali pertama di Desamall akan menerima diskaun RM20 bagi setiap pembelian minimum RM40.

Antara 17 hingga 31 Ogos pula, diskaun tambahan RM10 akan diberikan kepada pelanggan setia yang kembali dengan pembelian minimum RM30.

CJ WOW SHOP kini menawarkan lebih daripada 1,000 produk di platformnya yang pelbagai terdiri daripada barangan rumah ke barangan elektrik, kecantikan, fesyen dan perkhidmatan.

Sehingga kini, 70 peratus produk yang terjual di rangkaian CJ Wow Shop terdiri daripada jenama tempatan termasuk Mugen, Riino, Elba, Habib Jewel, Ariani dan SimplySiti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 6:08 PM