Timbalan Menteri Pembanggunan  Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong, Galeri Desa Mall melihat produk yang dihasilkan oleh pengusaha di Luar Bandar dalam lawatan kerja ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR) di Batu Muda, Batu Caves. FOTO FATHIL ASRI
Timbalan Menteri Pembanggunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong, Galeri Desa Mall melihat produk yang dihasilkan oleh pengusaha di Luar Bandar dalam lawatan kerja ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR) di Batu Muda, Batu Caves. FOTO FATHIL ASRI
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Langkah berterusan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi DesaMall@KPLB membantu usahawan luar bandar untuk memasarkan produk mereka secara berkesan di pasaran e-Dagang.

Bagi memperkasakan lagi pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar, KPLB menerusi Program DesaMall@KPLB telah mewujudkan Galeri DesaMall@KPLB.

Terletak di Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR) di KM13, Off Jalan Batu Caves, galeri berkenaan bertindak sebagai pusat pengumpulan produk usahawan luar bandar dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sebelum dipasarkan menerusi platform dalam talian dan on demand.

Selain itu, galeri berkenaan berperanan mempamerkan produk usahawan luar bandar secara fizikal, sekali gus membolehkan pembeli melihat, menyentuh seterusnya membeli produk di situ secara terus selain pembelian di platform e-Dagang.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong berkata, galeri berkenaan lebih menjurus kepada memenuhi keperluan on demand yang dilaksanakan dengan kerjasama GrabMart dan PandaMart selain turut dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang mengunjungi kemudahan berkenaan.

Menurutnya, galeri DesaMall@KPLB juga memasarkan produk usahawan luar bandar dari kategori barangan runcit, barangan kecantikan dan kesihatan serta barangan bayi dan kanak-kanak yang tersedia untuk dibeli secara terus oleh pengguna di sekitar lokasi berkenaan.

"Saya difahamkan, Galeri DesaMall@KPLB ini memasarkan 1,245 produk membabitkan 2,856 SKU (Stock Keeping Unit).

"Lebih membanggakan, sejak mula beroperasi pada Julai tahun lalu, ia berjaya mengutip hasil jualan berjumlah RM35,057.81 sehingga 31 Mac 2021 daripada jualan di platform on demand dan pembeli walk in. Ia nyata satu pencapaian yang cukup baik," katanya selepas lawatan kerja ke Galeri DesaMall@KPLB di KIMAR.

Pelaksanaan Galeri DesaMall@KPLB itu juga membabitkan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai pemilik premis yang membantu mengenakan sewaan minimum kepada pihak syarikat pentadbir DesaMall@KPLB, eLokal Sdn Bhd.

Dari perspektif usahawanluar bandar, Henry berkata,memasarkan sendiri produk dihasilkan pastinya sedikit sukar kerana kuantiti penghasilan tidak banyak.

"Pengangkutan ke bandar untuk memasarkan produk juga antara masalah dihadapi usahawan luar bandar, sekali gus mematahkan hasrat mereka untuk terus menghasilkan produk sendiri.

"Jadi, dengan DesaMall@KPLB ini, ia dapat menggalakkan usahawan khususnya petani dari kawasan luar bandar memasarkan produk mereka.

"Dengan itu juga, usahawan tidak hanya dapat memasarkan produk sendiri tetapi dapat meningkatkan lagi pendapatan mereka," katanya.

Bagi memperkasa produk luar bandar ke peringkat antarabangsa, KPLB akan membuka 14 DesaMall@KPLB di seluruh negara dalam beberapa tahun akan datang.

Terbaru, konsep DesaMall@KPLB dikembangkan lagi dengan membuka DesaMall@Lawas, di Sarawak dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Henry berkata, langkah itu sangat dinantikan kerana di Lawas, ada produk tempatan boleh dipasarkan secara meluas terutama Beras Adan dan Keju Mozarela dari susu kerbau.

"Di Sarawak khususnya, luar bandar adalah kawasan yang jauh dan petani termasuk mereka yang mempunyai produk sendiri sukar untuk menjualnya.

"Jadi, dengan adanya DesaMall@KPLB ini, saya rasa ia cukup menarik untuk usahawan luar bandar memasarkan produk mereka yang sedikit di kampung, tetapi apabila jualan meningkat, akan memberi galakan untuk terus meningkatkan penghasilan produk mereka," katanya.

Dengan pembukaan DesaMall@KPLB di Lawas itu nanti, produk tempatan yang istimewa di daerah itu, Beras Adan dan Keju Mozarella tidak hanya dipasarkan di sana, tetapi dipasarkan menerusi platform e-Dagang DesaMall@KPLB.

"DesaMall@KPLB ini satu platform yang besar dan dapat membantu rakyat khususnya di luar bandar dengan produk mereka.

"Jadi, saya harap usaha ini diperluas ke kawasan luar bandar di seluruh negara, berterusan dan bermanfaat kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 2:04 PM