KETAGIHAN penggunaan gajet atau media sosial dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun boleh memberi impak kepada perkembangan otak dan tumbesaran. FOTO Arkib NSTP
KETAGIHAN penggunaan gajet atau media sosial dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun boleh memberi impak kepada perkembangan otak dan tumbesaran. FOTO Arkib NSTP
Nurul Najwa Mohd Noordin dan Siti Norhidayah Mohd Yunus

Kuala Lumpur: Ketagihan penggunaan gajet atau media sosial dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun boleh memberi impak kepada perkembangan otak dan tumbesaran.

Pakar Perunding Kanak-Kanak, Dr Hieu Yu Jin, berkata kanak-kanak di bawah umur 13 tahun cenderung untuk menjadi kurang responsif kepada keadaan sekeliling.

"Berdasarkan kajian, ketagihan ini menjadikan interaksi mereka kepada keluarga dan rakan semakin berkurangan.

"Mereka juga tiada kemahiran interaksi sosial yang bersesuaian dengan umur mereka, malah mungkin terdapat kelewatan terhadap perkembangan tingkah laku," katanya.

Jelasnya lagi, mereka juga akan bertindak tanpa berfikir dengan mengikut trend ekstrem tular yang dimuat naik oleh pempengaruh di media sosial.

"Ini secara tidak langsung akan memberi impak kepada kesihatan mental dan fizikal mereka.

"Jadi amat wajar untuk beberapa konten yang mudah didapati di dalam gajet atau media sosial ditapis mengikut kesesuaian umur lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun," katanya.

Menurutnya, ibu bapa juga digalakkan untuk mengaktifkan tetapan 'parental control' semasa anak mereka diberi kebenaran untuk menggunakan gajet.

"Ini bukan untuk mengongkong kebebasan mereka tetapi untuk mengehadkan akses orang di luar sana kepada mereka.

"Kita tak tahu mungkin ada orang dewasa yang sedang berbual dengan mereka di dalam talian," katanya.

Pakar Pediatrik, Dr Tengku Putri Zainab Tengku Ab Malek berkata, perlu ada pemantauan dari semasa ke semasa.

"Lebih baik jika penggunaan media sosial ini hanya dilakukan di rumah sahaja supaya pemantauan dapat dilakukan dengan lebih dekat.

"Kita perlu nasihatkan mereka jangan berbual berlebih-lebih dengan orang tidak dikenali, perlu juga hadkan pendedahan konten dewasa," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak itu berisiko untuk mendapat isu psikologi seperti kemurungan, kebimbangan, gangguan perhatian defisit hiperaktif (ADHD) dan gangguan tabiat pemakanan seperti anoreksia nervosa.

Katanya, mereka juga akan mula terdedah dengan penyakit fizikal seperti obesiti, rabun jauh dan masalah pendengaran.

"Ia juga memberi kesan negatif kepada pencapaian akademik mereka iaitu terdapat kelewatan dalam pembelajaran dan kemahiran sosial.

"Ada kebarangkalian mereka akan guna gajet pada waktu yang sama apabila melakukan kerja rumah.

"Ini kerana kanak-kanak kebiasaannya gemar untuk 'multitask' ataupun melakukan pelbagai kerja serentak, jadi secara tidak langsung memberi kesan pada prestasi sekolah mereka.

Sementara itu, guru, Mohd Khairul Anwar Hamzah mengakui kebanyakan pelajarnya kurang menunjukkan minat belajar akibat kesan daripada penggunaan gajet secara berlebihan.

Menurutnya, mereka mempunyai jangka fokus yang singkat ketika sesi pembelajaran dilaksanakan.

"Mereka hanya fokus lima hingga 10 minit semasa awal pembelajaran sahaja, selepas itu mereka mula bosan.

"Kadang-kala saya terpaksa mengajar dua tiga kali untuk bagi mereka faham," katanya pada Harian Metro.

Menurutnya, beliau juga berpendapat ramai pelajar terikut-ikut dengan trend semasa yang secara tidak langsung memberi kesan negatif.

"Saya perasan mereka selalu guna simbol dan gaya-gaya pelik di dalam kelas sampaikan saya sendiri pun tidak faham," katanya.

Menurutnya, sikap yang terlalu mengikut trend juga membuat mereka berkomunikasi secara kurang sopan tanpa menyedarinya.

"Mereka seakan-akan tidak dapat membezakan batas pergaulan antara guru dan rakan sekelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:02 PM