GRAB secara konsisten mengoptimumkan teknologinya untuk meningkatkan kecekapan penghantaran. FOTO Rohanis Shukri
GRAB secara konsisten mengoptimumkan teknologinya untuk meningkatkan kecekapan penghantaran. FOTO Rohanis Shukri
Sri Ayu Kartika Amri

GRABMART, perkhidmatan terbaharu Grab yang dilancarkan November lalu akan diperluas ke luar Lembah Klang terutama bandar utama seperti Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching, Ipoh, Melaka dan Pulau Pinang.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak perniagaan serbaneka dan runcit mencapai kenaikan penjualan tiga kali ganda melalui perkhidmatan GrabMart.

Katanya, walaupun terdapat peningkatan penghantaran segera untuk makanan, minuman dan barang keperluan lain melalui GrabFood, GrabMart dan terutama 'Pasar' di GrabMart, terdapat cabaran baharu untuk peruncit.

"Normal baharu berpotensi memberi kesan kepada peruncit tradisional yang bergantung kepada jumlah pelanggan yang datang ke kedai terutama peruncit kesihatan, kecantikan, permainan, hadiah dan kedai alat tulis hingga ke kedai bunga.

"Kami percaya bahawa jurang ini membolehkan perkhidmatan GrabMart mampu untuk turut serta dan menanganinya, sambil membantu menjayakan inisiatif kerajaan, Shop Malaysia Online," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan lebih 120,000 rakan penghantar di seluruh negara, Grab secara konsisten mengoptimumkan teknologinya untuk meningkatkan kecekapan penghantaran.

"Malah, kami mencatat tahap perkhidmatan yang tinggi secara konsisten, dengan penghantaran biasanya di bawah 30 minit dengan harga serendah RM5," katanya.

Dengan lebih daripada 20 juta muat turun, platform Grab membolehkan peruncit memanfaatkan rangkaian itu untuk menyediakan perkhidmatan kepada komuniti pengguna yang celik teknologi sekali gus meningkatkan jualan mereka.

Sejak PKP, perniagaan pelbagai kategori memanfaatkan GrabMart untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan mereka.

Goh berkata, pihaknya teruja untuk memperluas perkhidmatan itu dan membantu lebih banyak perniagaan beralih ke instant retail' dengan lebih lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 6:10 AM