IZWAN ZAINUDDIN
IZWAN ZAINUDDIN
Bisnes HM


PERBADANAN Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengingatkan usahawan di seluruh negara supaya tidak terkeliru dengan sebuah koperasi yang menggunakan akronim PUNB dalam menawarkan pembiayaan kewangan peribadi.

PUNB adalah badan keusahawanan yang ditubuhkan pada 17 Julai 1991 sebagai peneraju dalam meningkatkan jumlah dan kualiti usahawan Bumiputera yang terbabit dalam bidang ekonomi strategik melalui sokongan kewangan dan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, operasi perniagaan PUNB tertumpu kepada penawaran pakej keusahawanan bersepadu yang dirangka khusus untuk membantu usahawan Bumiputera memantapkan perniagaan, mengekalkan keuntungan dan membentuk perniagaan mereka ke arah kecemerlangan.

“PUNB tidak menyediakan sebarang pembiayaan peribadi. Kami adalah entiti yang berbeza.

“PUNB menasihatkan usahawan supaya berhati-hati dan tidak terkeliru dengan pihak yang menggunakan akronim yang sama dengan PUNB.

“PUNB mengurus sendiri semua urusan pembiayaan kewangannya tanpa menggunakan ejen, perkhidmatan perantaraan atau orang tengah,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 12:26 PM