USAHAWAN di Pantai Timur dipelawa mengembangkan lagi perniagaan mereka menerusi pakej komprehensif pembiayaan perniagaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). FOTO Arkib NSTP
USAHAWAN di Pantai Timur dipelawa mengembangkan lagi perniagaan mereka menerusi pakej komprehensif pembiayaan perniagaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Machang: Usahawan di Pantai Timur dipelawa untuk mengambil ruang dan peluang mengembangkan lagi perniagaan mereka menerusi pakej komprehensif pembiayaan perniagaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, setakat 31 Oktober 2022, jumlah kelulusan pembiayaan perniagaan PUNB yang sudah diluluskan untuk wilayah Pantai Timur adalah sebanyak RM11.26 juta kepada 45 syarikat.

Katanya, masih ada peluang untuk syarikat usahawan Bumiputera di Pantai Timur yang memenuhi syarat yang ditetapkan PUNB untuk memohon pembiayaan perniagaan PUNB.

"Sasaran peruntukan kelulusan bagi Pantai Timur adalah lebih RM20 Juta. Oleh itu, usahawan Bumiputera yang dalam perancangan untuk mengembangkan perniagaan dan memerlukan sokongan pembiayaan perniagaan, rebut peluang ini dengan datang kepada kami.

"Permohonan pembiayaan perniagaan PUNB kini lebih mudah dengan adanya permohonan dalam talian. e-mohon.

"Bagaimanapun, sekiranya ada kemusykilan atau sebarang persoalan mengenai pembiayaan perniagaan dan e-mohon boleh datang ke pejabat cawangan PUNB.

"Di Pantai Timur, usahawan boleh pergi ke Pejabat PUNB Wilayah Pantai Timur di Kuala Terengganu, Pejabat PUNB Cawangan Kota Bharu, Kelantan, Pejabat PUNB Cawangan Kuantan, Pahang dan Pejabat PUNB Cawangan Jerantut, Pahang," katanya dalam kenyataan.

Ahmad Nazlan berkata, setiap keperluan usahawan adalah berbeza dan penting kepada PUNB untuk mengetahui pasaran perniagaan dan keperluan usahawan ini bagi memastikan pembiayaan perniagaan PUNB sampai kepada usahawan yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 8:50 AM