HAZIMAH dan Noh memotong pulut kuning pada Majlis Serah Tugas dan Sambutan Ulang Tahun PUNB ke-29, semalam.
HAZIMAH dan Noh memotong pulut kuning pada Majlis Serah Tugas dan Sambutan Ulang Tahun PUNB ke-29, semalam.
Rosyahaida Abdullah

PERBADANAN Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan memastikan proses permohonan serta tempoh kelulusan Pembiayaan Mudah Bumiputera yang disediakan kerajaan melaluinya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dipercepatkan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, berbanding tempoh tiga bulan yang kebiasaannya diambil untuk kelulusan permohonan pembiayaan sebelum ini, pihaknya meletakkan komitmen tiga minggu khusus buat usahawan PUNB yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Jelas beliau, jumlah pembiayaan bagaimanapun berbeza bermula daripada RM100,000 hingga RM1 juta.

"Kerajaan pada bulan lalu memberikan peruntukan RM200 juta untuk PUNB bantu usahawan yang terjejas akibat Covid-19, jadi bagi saya prosedurnya tidak boleh sama dengan prosedur sedia ada.

"Untuk peruntukan tahunan, saya fikir ia perlu mengikut peraturan biasa apa lagi untuk mereka yang baru nak mohon pembiayaan, mungkin prosedurnya agak ketat sedikit.

"Tetapi untuk usahawan PUNB sedia ada yang terkesan dengan Covid-19 ini, bantuan perlu disegerakan," katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi PUNB dan Sambutan Ulang Tahun PUNB ke-29 di Ibu Pejabat PUNB Kuala Lumpur di sini, semalam.

Ia dihadiri bekas Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin yang menamatkan perkhidmatannya semalam dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.

Pembiayaan Mudah Bumiputera berjumlah RM200 juta untuk PUNB diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal bulan lalu khusus untuk perniagaan milik Bumiputera.

Antaranya dalam bentuk modal kerja, perbelanjaan operasi dan automasi sistem.

Dalam pada itu, Noh berkata, beberapa perancangan sudah diatur beliau dalam menerajui PUNB khusus untuk memperkasa usahawan Bumiputera di negara ini.

Antaranya galakan untuk usahawan memiliki hartanah perniagaan sendiri menerusi konsep Rent to Own berbanding terus menyewa premis milik orang lain.

"Saya fikir ini penting dan sejajar matlamat PUNB di mana kita juga ingin membantu usahawan yang sudah berjaya serta yang sedang berniaga untuk memiliki hartanah sendiri.

"Ada beberapa skim yang saya akan lihat secara lebih mendalam, tetapi asasnya saya ingin mencari jalan supaya usahawan ini bukan hanya menyewa, tetapi akhirnya dia boleh memiliki bangunan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 7:00 AM